Kuala Lumpur: Penyanyi Wani Kayrie, 22, berhasrat membuat rakaman semula lagu lama yang menjadi ‘trend’ ketika ini, namun dia memilih untuk menyanyikan lagu dalam bahasa Inggeris nyanyian asal Beyonce atau Celine Dion.

Wani atau nama sebenarnya Syazwani Abdullah berkata, semuanya masih dalam perbincangan dengan syarikat rakaman berikutan sekarang begitu ramai penyanyi merakamkan semula lagu- lagu ‘rock jiwang’ era 1990-an.

“Saya dapati sekarang ini dah macam ‘trend’ ramai orang (penyanyi) yang ‘cover’ lagu jiwang. Bagi saya, kalau nak rakam semula lagu lama, mungkin saya akan pilih lagu-lagu Inggeris.

“Ini kerana bila dah terlalu ramai penyanyi buat benda sama, nanti lama-lama pun orang tak nak tengok juga. Jadi, saya ada perancangan mungkin nak rakam semula lagu-lagu Beyonce atau Celine Dion, tapi dengan gubahan muzik berbeza,” katanya kepada Harian Metro.

Wani yang juga aktif sebagai pelakon berkata, sudah pasti lagu yang dipilihnya adalah lagu popular.

Ditanya mengenai penerimaan positif pendengar terhadap dua single terbaharunya iaitu Jangan Terlepas Pandang dan Kamu Kamu, Wani berkata, dia bersyukur kerana lagu itu amat ‘mesra radio’ dan tersenarai dalam carta lagu popular.

“Alhamdulillah, syukur sangat kerana lagu-lagu saya yang baharu ini ramai orang tahu. Malah, kalau jumpa peminat pun, kebanyakannya tahu dan mereka juga ingat lirik lagu itu.

“Kalau sebelum ini, ada juga beberapa lagu saya yang tidak diketahui peminat kerana kurang ‘mesra radio’, tapi tak mengapalah sebab mungkin tiada rezeki. Saya berterima kasih kepada semua peminat yang terus menyokong,” katanya.

Wani yang mula menceburi karier nyanyian sejak kanak-kanak dengan menyertai pelbagai pertandingan di TV, sebelum ini pernah popular dengan lagu seperti Jangan Jangan dan Aku Suka Kamu. Selain itu, dia juga pernah mengacarakan Didik TV.

Kredit: Harian Metro

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *