KUALA LUMPUR: Setiap kali 22 Februari muncul, nama penyanyi legenda, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad pasti disebut-sebut kerana pada tarikh itu, dunia seni meratapi pemergiannya, pada 1992, iaitu genap 30 tahun lalu.
Meskipun sudah tiga dekad jasad Sudirman bersemadi, hakikat yang harus diakui adalah ingatan terhadap bintang kesayangan ramai itu terus utuh.
Namun, di sebalik ingatan dan doa yang dititip buat Allahyarham Sudirman yang banyak menyumbang jasa terhadap industri kreatif negara, terselit rasa terkilan.
Sehingga hari ini, tidak nampak usaha mewujudkan sebuah galeri atau memorial khas buat Penghibur Nombor Satu Asia itu seperti yang pernah dijanjikan.
Antara pihak yang menaruh harapan agar perkara itu direalisasikan adalah Kelab Peminat Sudirman yang sebelum ini pernah meluahkan hasrat serupa kepada kerajaan.
Presidennya, Ramlan Md Isa, 38 berkata, persatuan pernah menulis surat kepada kerajaan menyuarakan idea agar didirikan sebuah galeri khas buat Sudirman, empat tahun lalu.
Namun, sehingga hari ini, pihaknya belum mendapat jawapan berhubung permohonan itu.
“Saya mewakili kelab ada menulis surat kepada Timbalan Perdana Menteri ketika itu, iaitu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memohon diwujudkan sebuah memorial atau galeri khas untuk Allahyarham.
“Permohonan kami itu kemudian dirujuk kepada Arkib Negara. Kami ada menerima surat jawapan daripada pihak berkenaan yang menyatakan perkara itu sedang dalam perbincangan.
“Bagaimanapun, selepas empat tahun, cadangan itu masih tergantung begitu sahaja. Sehingga hari ini, kami tidak lagi menerima maklum balas berhubung perkara itu,” katanya kepada BH Online.

Mengulas lanjut, sebagai penyanyi yang diminati pelbagai lapisan masyarakat dan memiliki bakat dalam pelbagai cabang seni, memorial atau galeri untuk Allahyarham Sudirman wajar diwujudkan untuk dijadikan sumber rujukan generasi akan datang.
“Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee ada memorial dan galeri tersendiri yang menempatkan pelbagai khazanah peribadi seperti trofi, gambar dan pakaian.
“Apa yang berlaku kepada Allahyarham Sudirman adalah sebaliknya. Kalau bukan Kerajaan Persekutuan yang usahakan, apalah salahnya jika hasrat itu dilaksanakan kerajaan negeri.
“Daripada dibiarkan rumah tempat arwah dibesarkan di Kampung Tok Embun, di Mentakab Pahang dipenuhi semak samun, adalah lebih baik jika dipulihara dan dijadikan gelari untuk mempamerkan khazanah Allahyarham.
“Ada banyak koleksi peribadi Allahyarham yang boleh dijadikan pameran. Tetapi, disebabkan tiada galeri khas, semuanya disimpan di merata-rata tempat dan tidak dipamerkan kepada orang ramai.
“Kami mahu semua koleksi itu dikumpul dalam satu tempat agar orang ramai boleh lihat dan dijadikan sumber rujukan,” kata Ramlan yang juga kakitangan sebuah jabatan kerajaan.
Sejak ditubuhkan lebih sedekad lalu, Kelab Peminat Sudirman yang dianggotai pelbagai generasi itu tidak pernah gagal menjalankan aktiviti bermanfaat untuk ahlinya.
Antara aktiviti wajib yang dianjurkan adalah majlis tahlil untuk Allahyarham Sudirman.
“Sejak ditubuhkan pada 2011, kami sering mengadakan pelbagai aktiviti bertujuan mengenang arwah. Kali pertama kami berkumpul adalah pada majlis yang di kediaman kakak arwah di Bangsar.
“November lalu, kami anjur aktiviti bersama ahli di Sudirman Cafe. Selain berkongsi pengalaman atau momen manis yang pernah dilalui bersama arwah, aktiviti wajib yang dilakukan adalah majlis tahlil.
“Seingat saya, sehingga hari ini, kami belum pernah gagal menjalankan aktiviti berkaitan arwah setiap kali menjelang tarikh 22 Februari,” katanya.

Turut berkongsi perasaan selepas tiga dekad pemergian penghibur serba boleh itu ialah anak saudaranya, Atai atau nama sebenar Razman Azrai Datuk Zainuddin.
Atai sangat terharu kerana hingga hari ini, ramai masih mengingati dan menyanjungi sumbangan arwah bapa saudaranya yang dipanggil Cokman itu.
“Saya amat berterima kasih dan terharu. Walaupun sudah 30 tahun ketiadaannya, orang ramai masih mengingati dirinya dan mengadakan majlis tahlil buatnya.
“Tidak ramai sebenarnya selebriti yang mendapat penghargaan seperti ini dan saya amat bersyukur,” katanya.
Tambah Atai yang popular dengan lagu Pusing ini, kesukaran peminat untuk memadamkan kenangan bersama arwah adalah disebabkan keadaan Malaysia ketika itu yang cukup harmoni, sesuai dengan dengan mesej cintakan negara yang sering diketengahkan arwah.
“Saya rasa mereka rindu zaman ketika arwah masih hidup. Ketika itu, semua bangsa hidup aman damai dan bersatu,” ujarnya.
Sementara itu, biarpun sudah tiga dekad teman karibnya pergi, penulis lirik terkenal, Datuk Habsah Hassan terasa seperti baru semalam dia kehilangan insan yang disifatkan lucu, pemurah dan komited kepada karier itu.
“Sebagai kawan, di luar waktu kerja, arwah senang didampingi dan mudah mesra. Dia suka menolong dan bertanya khabar.
“Tetapi ketika bekerja, dia sangat serius, tegas dan garang. Arwah sangat komited dengan apa yang dilakukan, sama ada untuk program televisyen (TV), majlis makan malam dan sebagainya.
“Dia memberi yang terbaik kepada kerja dan tidak ambil mudah,” katanya.
Habsah turut berkongsi kenangan indah bersama Allahyarham Sudirman yang paling diingati.
“Peristiwa berlaku pada 1988 iaitu ketika Sudirman melawat saya yang melahirkan anak bongsu di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC).
“Ketika itu, jam sudah jam 11 malam, tiba-tiba Sudirman muncul dengan patung koala,” katanya.

Habsah yang mesra disapa Kak Chah berkata, arwah menyerahkan sampul berisi RM100.
“Pada sampul berkenaan, arwah menulis kata-kata maaf itu sahaja yang mampu diberi kerana dia belum kaya.
“Ingatan dan kesungguhan arwah tidak boleh dilupakan. Itu antara kenangan yang saya paling ingat,” katanya.
Ingatan Habsah pada hari pemergian Allahyarham Sudirman bagai masih basah.
“Macam baru sangat, tidak terasa lamanya dia pergi. Cuma Sudirman tiada di depan kita, tetapi kita rasa ada. Seperti lagu Nora, Ada Dalam Tiada.
“Secara peribadi itu yang saya rasakan… Dia tiada tetapi macam ada,” katanya.
Sementara itu, Habsah kagum dengan kesetiaan Kelab Peminat Sudirman yang masih aktif diterajui Ramlan biarpun sudah 30 tahun penyanyi legenda itu pergi.
“Perkara lain sering saya cakap. Kali ini saya mahu kongsi kegigihan ahli kelab. Walaupun tidak ramai, dalam lingkungan 30 orang sahaja, mereka sangat komited.
“Ahli kelab bukan sebaya saya. Ada yang muda-muda. Ahli berumur 14 tahun dan 20-an pun ada.
“Saya kagum kerana biarpun mereka belum lahir, malah, ibu dan ayah mereka juga mungkin belum bertemu ketika itu, mereka tetap meminati arwah.
“Bukan sekadar itu, boleh dikatakan saban tahun, ada sahaja aktiviti yang mereka buat. Saya mahu lahirkan rasa terima kasih kepada mereka.
“Saya fikir mungkin ini adalah satu-satunya kelab peminat yang dapat bertahan selama ini,” katanya.
Habsah sangat berterima kasih kepada Ramlan yang tegar memperjuangkan kelab berkenaan.
“Baru semalam dia menghantar gambar kepada saya. Dia ziarah dan membersihkan kubur arwah sendirian. Ramlan memang peminat tegar dan setia,” katanya.

Habsah menganggap Sudirman tiada pengganti.
“Bagi artis lain, mungkin kelab peminat mereka hanya kekal ketika artis terbabit masih hidup. Berbeza dengan Kelab Peminat Sudirman yang masih meneruskan silaturahim biarpun beliau sudah tiada,” katanya.
Sementara itu, Datuk Aznil Nawawi yang menjadikan Sudirman idola sejak dahulu lagi, mengaku penyanyi itu memberi pengaruh besar dalam hidupnya.
“Saya paling minat album arwah berjudul Perasaan. Selain lagu yang dimuatkan dalam album itu semuanya hit, saya suka konsep fotografi pada kulit album berkenaan.
“Apa yang saya tahu daripada pembacaan, gambar pada kulit album memaparkan arwah mengenakan sut serba putih dan dipadankan dengan selendang.
“Foto itu dirakamkan pada waktu pagi di jalan raya ketika tidak banyak kenderaan.
“Saya boleh bayangkan betapa arwah sangat komited untuk menjayakan sesi fotografi itu dan bersiap awal pagi. Menariknya, arwah menyarungkan kasut sukan atau sneakers yang santai.
“Pendek kata, cita rasa arwah dalam fesyen mendahului zaman,” katanya.
Aznil berkata, ketika album Perasaan yang diterbitkan Ooi Eow Jin dilancarkan pada 1979, dia berusia 17 tahun.
“Lagu Toyol yang terkandung dalam album itu pernah saya rakam semula dalam album mini saya yang diterbitkan KRU Studios pada 2008,” katanya.
Aznil mengaku kecenderungan bereksperimen dengan fesyen didorong Sudirman.
“Arwah pernah mengenakan jubah ikonik bendera Malaysia yang dipakai dalam hujan lebat ketika membuat persembahan pada penutup Sukan SEA ke-15 di Stadium Merdeka pada 31 Ogos 1989.
“Saya juga pernah tampil dengan baju Melayu menggunakan Jalur Gemilang,” katanya.
Arwah Sudirman dilahirkan pada 25 Mei 1954 di Temerloh, Pahang. Memulakan karier sebagai penyanyi selepas muncul juara Bintang RTM pada 11 Ogos 1976.
Meraih gelaran Penghibur Nombor Satu Asia pada 19 Mac 1989. Meninggal dunia di kediaman kakaknya, Datin Rodziah Arshad di Bangsar pada 22 Februari 1992 selepas tujuh bulan bertarung dengan penyakit radang paru-paru.
Kredit: Berita Harian