KUALA LUMPUR: Bakal menimang cahaya mata sulung tidak lama lagi, pendakwah bebas, Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU Riz dan isteri, Neelofa, mahu membesarkan permata hati mereka secara sederhana.
PU Riz, 26, sedar dia dan isteri dikenali ramai, namun, tidak mahu anak masyhur seperti mereka.
“Masyhur ini kadang-kadang ada kebaikan dan keburukan. Jadi, kita mahu hidup dengan cara yang diberkati dan tidak terlalu orang hendak kenal sangat.
“Dalam Islam dipanggil wasatiyyah iaitu pertengahan atau sederhana. Walaupun ibu bapanya satu Malaysia kenal, kita harap anak ini dapat membesar dengan cara Islam.
“Tetapi kalau cakap tidak mahu dia terkenal sangat, tak boleh juga. Ini kerana ibu bapanya dikenali, tapi kita tidak mahu biar dia ke arah situ… Biarlah sederhana,” katanya kepada BH Online.l
Berkongsi mengenai persiapan menyambut penyeri rumah tangga mereka itu, PU Riz berkata, dia dan Neelofa bersedia daripada segi mental dan banyak membaca untuk menambah ilmu.
“Daripada segi persiapan, kita kena ambil berat mengenai cara pembelajaran. Kita sendiri belajar macam mana hendak membesarkan anak ini.
“Sebab kita tidak pernah melaluinya. Jadi, kita kena sedia daripada segi mental. Saya rasa semua (orang) yang sudah berkahwin, faham soal ini.
“Kita pun mahu yang terbaik. Tunjuk contoh yang baik dan jadi orang yang lebih bertanggungjawab kepada keluarga dan agama, terutamanya,” katanya.
Bertanya mengenai kegiatan Neelofa selepas bersalin, PU Riz berkata dia akan menentukannya kemudian.
“Itu nanti saya tentukan jadual isteri… Rehat dahulu,” katanya yang ditemui bersama Neelofa pada majlis pelancaran perisa baharu susu Nilofa di ibu negara, baru-baru ini.
Pada majlis itu, PU Riz hadir bagi memberi sokongan kepada perniagaan isterinya itu.
“Saya kena sokong… Ini juga sebahagian daripada hidup saya,” katanya.
PU Riz dan Neelofa berkahwin pada 27 Mac tahun lalu.
Kredit: Berita Harian