KUALA LUMPUR: Atas dasar prihatin, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) memperuntukkan RM20,000 sebagai bantuan kepada penggiat seni dan kakitangan agensi itu yang ditimpa musibah banjir.
Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Prof Dr Md Nasir Ibrahim berkata, pihaknya sedang mengumpul maklumat mengenai individu yang layak mendapat bantuan.
“FINAS ada 18 kakitangan yang terjejas akibat banjir. Kami dengan bantuan persatuan seni sedang mengumpul maklumat penggiat seni yang menjadi mangsa banjir.
“Mereka yang terjejas dan memerlukan bantuan boleh menghubungi persatuan masing-masing atau FINAS menerusi talian hotline disediakan.

“Selepas mendapat maklumat, agihan bantuan akan disalurkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM),” katanya kepada BH Online.
Md Nasir menambah, FINAS mengambil inisiatif dengan mencari penaja yang boleh membantu menjayakan misi amal itu.
“Selain mengeluarkan peruntukan sendiri, FINAS mencari penaja untuk membantu kami melaksanakan misi itu.
“Bantuan ini bukan sahaja untuk kakitangan dan anak seni yang terjejas, malah, digunakan untuk membiayai penempatan sementara mangsa banjir di Kompleks Studio Merdeka di Hulu Kelang,” katanya.
Md Nasir berkata, setakat ini, belum ada mangsa banjir ditempatkan di kompleks berkenaan.
“Mungkin cuaca hari ini (semalam) agak baik dan banjir sudah semakin surut. Namun, kami bersedia jika berlaku sebarang kemungkinan selepas ini,” katanya.
Kredit: Berita Harian