KUALA LUMPUR: Media Prima Audio (MPA) berjaya mencapai lebih 5 juta pendengar secara mingguan selepas penjenamaan semula rangkaian stesen radio, baru-baru ini.
Berdasarkan tinjauan radio komersial GFK Kedua untuk 2021, pendengar digital merekodkan pencapaian yang mengagumkan iaitu sebanyak 57 juta pendengar sepanjang enam minggu.
Empat stesen radio yang berpayung di bawah MPA iaitu Hot FM, Buletin FM, Fly FM dan 8FM dilancarkan ketika pandemik COVID-19 melanda seluruh negara.
Ketua Pegawai Eksekutif MPA, Nazri Noran berkata, ini adalah permulaan baik dan mengagumkan buat MPA sebagai syarikat yang mengetengahkan audio sebagai saluran utama.
“Penjenamaan semula empat stesen radio milik MPA dibuat pada 2 Ogos lalu, kira-kira lima minggu sebelum menghadapi tinjauan kempen yang dimulakan pada minggu pertama pada September.
“Bagaimanapun, kami optimistik dengan keputusan ini dan percaya sudah menetapkan asas kukuh untuk MPA. Kami melancarkan dua jenama baharu iaitu 8FM dan Buletin FM serta menampilkan empat gandingan baharu bagi segmen pagi di setiap stesen radio ketika gelombang penularan wabak COVID-19.
“Dengan pelbagai cabaran dan halangan, kami percaya pelancaran dibuat pada tepat masanya kerana ini akan memberikan masa mencukupi memulakan sesuatu lebih baik untuk 2022.
“Selain itu, ia dapat membiasakan penyampai radio ke udara dengan gandingan baharu untuk suku pertama tahun hadapan,” katanya kepada BH Online.
Hot FM mengekalkan kedudukan sebagai salah stesen radio terbesar dengan 3.7 juta pendengar setiap minggu, ia sekali gus berlaku peningkatan sebanyak 30,000 daripada sebelum ini.
Di samping itu, berlaku trend peningkatan terhadap jumlah masa mendengar di Hot FM dan ia adalah daripada pendengar eksklusif Hot FM.
Hot FM turut mengambil inisiatif dengan memperkenalkan gandingan baharu untuk segmen pagi bersama penyampai berpengalaman seperti AG dan Fara Fauzana yang bergandingan bersama pelawak terkenal, Fad. Gandingan mereka nyata diterima baik pendengar.
Gabungan tiga penyampai itu menunjukkan prospek menarik bukan sahaja untuk pendengar, malah untuk pelanggan dan rakan kongsi yang ingin melabur di MPA.
Saluran radio MPA yang menyampaikan berita semasa dalam bahasa Malaysia, Buletin FM pula berjaya mengumpul sebanyak 232,000 jumlah pendengar setiap minggu, walaupun ia baru diperkenalkan kepada pendengar dan pasaran pada Ogos lalu.
Berita adalah konsep baharu kepada demografi masyarakat Melayu, malah, MPA menjangkakan akan terus berkembang dengan memberikan kekuatan pada masa hadapan bagi terus memacu perbincangan, berita relevan dan selari dengan program berita serta isu semasa terbesar TV3 iaitu Buletin Utama.
Stesen berbahasa Inggeris MPA, Fly FM masih mengekalkan prestasi dalam landskap pandemik dan berjaya mengekalkan jumlah melebihi sejuta pendengar walaupun menampilkan gandingan penyampai baharu dalam segmen pagi.
Dengan sambutan positif dan diterima baik oleh pelanggan dan rakan kongsi, MPA teruja melangkah ke 2022 dengan perasaan lebih bersemangat.

8FM yang turut dilakukan penjenamaan semula daripada stesen One FM menyaksikan usaha sama bersama rangkaian televisyen berbahasa Cina, 8TV.
Fokus diubah dari segi demografi dan kandungan. Ini adalah penampilan pertama dalam tinjauan kali ini dan 8FM berjaya melakukannya dengan baik.
Dengan setengah juta pendengar setiap minggu dan jumlah masa pendengar yang semakin meningkat daripada 4.39 jam kepada 6.31 jam, di samping mengekalkan jumlah pendengar, 8FM menyasarkan untuk menyampaikan lebih banyak kandungan lebih baik dan relevan kepada pendengar.
“Secara umum, MPA gembira dengan keputusan ini. Kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pendengar atas sokongan yang berikan. Tidak lupa rakan kongsi yang banyak membantu dan menyokong sejak melancarkan penjenamaan baharu ini.
“Tempoh selama tiga bulan menyaksikan banyak perubahan berlaku terutama bagaimana pelanggan dan rakan kongsi melihat MPA sebagai organisasi media yang membantu dalam memberi penyelesaian terhadap kempen atau produk.
“Kami berbangga apabila rakan kongsi dan pelanggan seperti FoodPanda, CSR Sugars Refinery, Celcom, Takaful Ikhlas, PTPTN, McDonald’s , Xiaomi Malaysia dan banyak lagi menyertai MPA untuk melakukan pelbagai kempen dan menaja segmen menerusi rangkaian stesen radio sejak pelancaran jenama baharu MPA,” katanya.
Beliau berkata, MPA melakukan aktiviti luar bersama Lotus’s Malaysia, meraikan rakyat Malaysia dalam perjalanan untuk melancong dan pulang ke kampung halaman dengan mengedarkan kit penjagaan diri dan pelbagai barangan eksklusif untuk kegunaan dalam perjalanan, minggu lalu.
“Ini adalah salah satu usaha yang MPA ambil untuk mendekatkan hubungan dengan pendengar dan komuniti dengan cara bekerjasama dengan rakan kongsi,” kata Nazri lagi.
MPA menyasarkan untuk menjadi Penyiar Audio Nombor 1 di Malaysia merentas ketiga-tiga bahasa dengan melakukan pelbagai kandungan berkualiti dan terbaik diberikan kepada rakyat Malaysia.
Dengan panduan oleh penyelidikan dan analisis terhadap pasaran serta kumpulan sasaran, ia membolehkan MPA memahami pendengar dan pengiklan serta mengetahui lebih tepat cara membabitkan diri dalam pasaran, memberikan pelbagai maklumat dan seterusnya, memberikan hiburan kepada pendengar.
Selain itu, Audio+ juga adalah sebahagian daripada MPA yang menjadi salah satu inisiatif digital di mana pendengar boleh mendengarkan semua jenama radio MPA. Ini kerana aplikasi berkenaan menyokong empat stesen radio, podcast dan kandungan menarik lain.
“Kami berharap pendengar akan menjangkakan kandungan berkualiti dan pastinya akan ada beberapa kejutan buat pendengar pada awal tahun depan,” katanya.