KUALA LUMPUR: Penyanyi, Bunga, 21, menafikan dakwaan dirinya punca terputusnya hubungan pasangan selebriti, Ismail Izzani dan Shalma Eliana.
Bunga atau nama sebenar, Noor Ayu Fatini, berkata dakwaan itu timbul apabila dia dan Ismail dilihat menghadiri sebuah majlis.
“Sebenarnya, saya tak tahu isu hubungan Ismail dan Shalma. Saya diberitahu kawan apabila ada pihak membuat dakwaan.

“Secara jujur, saya terkejut mengapa saya didakwa begitu (jadi punca hubungan Ismail dan Shalma putus),” katanya kepada BH Online.
Bunga mengaku menghadiri sebuah majlis bersama Ismail dan beberapa selebriti lain.
“Antara yang hadir adalah Masya Masyitah. Pada majlis itu, Ismail memuat naik Instagram Story (IGs) bersama saya.
“Mungkin dari situ orang kaitkan saya dengan dia. Jujurnya, saya dan Ismail, hanya berkawan. Saya juga berkawan dengan Shalma.
“Shalma ada menghantar mesej kepada saya dan berharap semuanya baik-baik di pihak saya,” katanya.
Bunga mengakui dakwaan itu membuatkan dirinya sedih kerana tidak semena-mena menerima kata-kata kurang manis orang ramai.
“Sebagai insan sensitif, saya sedih jugalah sebab ketika isu ini viral, ramai yang mengatakan saya ‘bitchy’ dan sebagainya.
“Saya hubungi Warner Music meminta pandangan. Mereka menyatakan saya tidak perlu mengeluarkan kenyataan. Jika keadaan bertambah teruk, mereka akan adakan sidang media.
“Tetapi, saya ada buat ciapan di Twitter menjelaskan bukan saya (jadi punca terputusnya hubungan Ismail dan Shalma). Kalau mereka tak mahu percaya, ikutlah. Saya tak mahu fikir lagi kerana risau mengganggu saya,” katanya.
Bunga yang popular dengan lagu Intan Payung hangat diperkatakan di Twitter apabila ada ciapan mendakwa dirinya dilihat bersama Ismail di sebuah pusat beli-belah.
Bertanya mengenai reaksi teman lelakinya terhadap kontroversi tercetus, Bunga berkata, Amzar Sabri marah apabila timbulnya dakwaan tidak berasas itu.
“Dia adalah orang pertama saya kongsi mengenai perkara ini hingga saya menangis. Dia marah sehingga rasa mahu memuat naik kenyataan.
“Namun, kemudian putuskan tidak berbuat demikian,” katanya.
Sementara itu, Bunga bangga apabila meraih anugerah pertama iaitu The Z List daripada Lifestyle Asia KL.
Bunga berkata, anugerah itu adalah penghargaan buat generasi Z yang banyak memberikan inspirasi kepada orang ramai.
“Ini adalah acara anugerah untuk generasi Z di mana ada 10 penerima merangkumi pelbagai latar belakang. Tiga daripadanya adalah penggiat industri muzik iaitu saya, Ismail dan Masya.
“Pada awalnya, saya fikir ia kempen biasa, rupanya acara anugerah. Walaupun kecil, saya sangat bersyukur. Ini adalah batu loncatan dan buat saya sentiasa beringat agar jangan putus asa,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Bunga sedang menyambung pengajian dalam bidang sains pentadbiran di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Seremban, Negeri Sembilan sejak Ogos lalu.
Kredit: Berita Harian