KUALA LUMPUR: Penyanyi kelahiran Kota Kinabalu, Sabah, Eylia Guntabid mengharumkan nama negara apabila muncul juara musim ketujuh pertandingan bakat, Starvoices Asia (SVA7), Sabtu lalu.
Lebih manis, Eylia atau nama penuh, Eylia Eyre Guntabid mencipta sejarah menjadi penyanyi pertama dari Malaysia yang menjuarai pertandingan yang dianjurkan atas talian itu.
Eylia yang juga artis naungan Broadway Entertainment menewaskan saingan, Shafira Putri Kusumaningyu dari Indonesia.
“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang membantu dan menyokong saya dalam pertandingan ini.
“Saya mengaku ini adalah pertandingan paling mencabar yang pernah saya lalui. Apatah lagi, dianjurkan pada era pandemik COVID-19.
“Saya dianugerahkan rahmat tidak terhingga daripada semua pihak sejak hari pertama bersaing hingga SVA7 berakhir.
“Saya menangis gembira kerana ini suatu keajaiban yang berlaku dalam hidup saya,” katanya kepada BH Online.
Pertandingan yang dianjurkan selama tiga bulan itu menyaksikan Eylia berentap dengan 46 peserta dari negara lain.
Mereka ditapis daripada 1,140 penyertaan yang diterima penganjur dari seluruh Asia.
SVA7 diadakan setiap hujung minggu dan diadili melalui kaedah undian juri awam dan pemarkahan daripada empat juri profesional dari Indonesia.
Pada pusingan akhir itu, Eylia dan Shafira mempersembahkan lagu medley untuk menentukan juara.
Eylia memilih lagu dendangan mendiang Whitney Houston, Run To You dan All By Myself yang dipopularkan Celine Dion.
“Tidak dinafikan lagu All By Myself paling mencabar pernah saya bawa. Namun, saya lawan perasaan agar keluar dari zon selesa,” katanya.
Eylia sebelum ini pernah meraih lima pingat emas dan satu pingat perak di World Championship Of Performing Art (WCOPA) di Los Angeles (LA), Amerika Syarikat (AS) pada 2019.
Sementara itu, ‘orang kuat’ Broadway Entertainment, Boon Tan berbangga dengan kejayaan Eylia
“Ini satu lagi langkah terbaik Eylia untuk mengukuhkan karier seni dalam jangka masa panjang,” katanya.
Kredit: Berita Harian