KUALA LUMPUR: Penyanyi, Zizi Kirana menepis dakwaan dirinya banyak kerenah sehingga tidak boleh meneruskan penggambaran drama Jamu Nesan arahan Datuk Rafiena Ezanee Ramli.

Zizi, 36, menjelaskan dirinya tegas dengan pendirian tidak akan membuka tudung atau memakai rambut palsu demi menjayakan sesebuah watak.

“Saya tidak pernah cakap tak mahu berlakon atau meneruskan penggambaran. Dari awal, saya cakap mahu buat sebab suka dengan watak dan cerita naskhah ini. Cuma, perlu kena dengan penampilan saya sudah berhijab.

“Saya bersetuju mengambil tawaran ini sebab ia dijangka habis sebelum Ramadan. Mengikut jadual asal disusun oleh pengarah pertama, Datuk Eizlan Yusof, penggambaran membabitkan watak saya habis dua hari sebelum Ramadan.

“Ketika itu, saya masih belum bertudung. Namun, ketika masuk lokasi pengarah bertukar, jadi saya okay sahaja,” katanya kepada BH Online.

Zizi atau nama sebenarnya, Nur Fazelah @ Zizie binti Mad Tahil berkata, awalnya, mereka ikut jadual yang sudah dibuat, tetapi semuanya bertukar selepas beberapa hari.

“Malah, ada pertambahan, tetapi saya masih okay dan menurut sahaja. Namun, masih tidak boleh dihabiskan bahagian saya sehinggalah penggambaran tertunda,” katanya.

Rafiena mendedahkan terpaksa menanggung kerugian besar gara-gara terpaksa menggugurkan nama Zizi daripada drama Jamu Nesan yang hanya berbaki 30 peratus. - Foto IG Rafiena Ezanee Ramli
Rafiena mendedahkan terpaksa menanggung kerugian besar gara-gara terpaksa menggugurkan nama Zizi daripada drama Jamu Nesan yang hanya berbaki 30 peratus. – Foto IG Rafiena Ezanee Ramli

Sambung Zizi, dia kemudiannya dimaklumkan pengurus, produksi mahu menyambung penggambaran semula.

“Dalam masa sama, produksi tahu saya sudah berhijab. Rafiena cakap risau tengok Instagram (IG) apabila saya sudah berhijab sepenuhnya.

“Jadi, kami mengadakan mesyuarat dalam talian. Rafiena harap dapat selesaikan dan saya ingat ia diteruskan dengan penampilan saya berhijab, tetapi saya diminta memakai rambut palsu.

“Saya minta pandangan Mufti Wilayah Persekutuan berhubung soal ini. Jujurnya, saya memang tidak mahu buka tudung.

“Disebabkan itu, saya mohon produksi sesuaikan watak dengan penampilan saya. Apa saya harapkan ketika itu semoga Rafiena memahami situasi saya,” katanya.

Zizi yang turut didakwa melanggar kontrak kemudiannya digugurkan daripada meneruskan watak ketua mafia, Madam Zoora dan digantikan dengan penyanyi, Didi Astillah.

Tambah Zizi, apa yang berlaku disifatkan sebagai ujiannya sebagai pelakon yang sudah berhijab.

Zizi minta pandangan Mufti Wilayah Persekutuan berhubung soal memakai rambut palsu demi tuntutan watak. - Foto IG Zizi Kirana
Zizi minta pandangan Mufti Wilayah Persekutuan berhubung soal memakai rambut palsu demi tuntutan watak. – Foto IG Zizi Kirana

Bagaimanapun, Zizi tidak menafikan dirinya sedih memikirkan perkara berkenaan.

“Saya sedar apabila sudah memakai tudung memang akan berikan masalah dalam projek ini. Tetapi, takkan sebab itu saya nak kena ubah prinsip dengan membuka tudung.

“Justeru itu, saya mohon Rafiena memahami situasi saya. Lagi pula, Rafiena juga penulis skrip drama, jadi mungkin boleh tukar sedikit mengikut keadaan semasa.

“Malah, perkara sama dikatakan oleh mufti. Apa yang berlaku ini buatkan saya sedih. Satu malam saya berfikir mengenai masalah ini.

“Apa pun, saya terima ini sebagai dugaan. Tidak mengapa jika itu tanggapan diberikan pada saya. Saya tidak berdendam,” katanya.

Terdahulu, Rafiena mendedahkan terpaksa menanggung kerugian besar gara-gara terpaksa menggugurkan nama Zizi daripada produksi drama Jamu Nesan yang hanya berbaki 30 peratus sahaja.

Produksi terpaksa mengambil jalan terbaik dengan menggantikan penyanyi lagu EH itu dengan Didi yang dirasakan paling sesuai dan hampir sama dengan penyanyi berkenaan.

Kredit: Berita Harian

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *