KUALA LUMPUR: Mula menyanyi sejak berusia lima tahun, dunia seni sudah cukup sebati dalam diri Aisha Retno.

Aisha atau nama penuh, Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulizam beruntung kerana mewarisi bakat seni ibu iaitu penyanyi Indonesia era 1980-an, Jean Retno Aryani yang sebaris Hetty Koes Endang dalam mencipta nama.

Calon Top 5 kategori Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 mula mengecapi populariti apabila dijulang sebagai juara program realiti, Vokal Mania terbitan TV3, tahun lalu.

Aisha sebelum ini pernah menyertai beberapa pertandingan nyanyian dan disunting menjadi artis rakaman.

“Saya anggap di sebalik bangkit berjuang pada era pandemik COVID-19, ada hikmah dan kemanisan tersendiri. Mungkin hendak ‘all out’ seperti sebelum pandemik agak membataskan.

“Tidak mengapa, jauh dari sudut hati, saya mahu terbang tinggi menyerlahkan potensi diri dan berharap keresahan ditanggung sejak dua tahun lalu lenyap.https://52aa39b9c0ac87210df532bf68d92b3f.safeframe.googlesyndication.com/safeframe/1-0-38/html/container.html

“Pencalonan Top 5 ABPBH 34 umpama ubat yang menceriakan rasa gundah. Hendak bolos senarai awal 20 calon pun buat saya kecut perut.

Aisha menyerahkan nasib kepada peminat dalam menentukan kemenangan pada ABPBH 34. Foto Ihsan Aisha Retno
Aisha menyerahkan nasib kepada peminat dalam menentukan kemenangan pada ABPBH 34. Foto Ihsan Aisha Retno

“Saingan cukup sengit kerana setiap calon ada kelebihan dan keunikan tersendiri dan kelompok peminat kebal,” katanya kepada BH Online.

Dalam kategori Artis Baharu Wanita Popular, Aisha bersaing dengan kumpulan Dolla, Farisha Iris, Loca B dan pelakon Norreen Iman.

Aisha juga sependapat dengan kenyataan Farisha Iris yang dilaporkan melihat Dolla memberi ‘ancaman’ kepada calon lain berdasarkan pengaruh dan kejayaan mereka.

“Saya percaya setiap calon ada potensi untuk menang. Saya tahu ABPBH sentiasa ada kejutan dan keajaiban. Jadi, apa sahaja kemungkinan dan kejutan boleh terjadi,” katanya.

Aisha turut menjadikan kumpulan Dolla sebagai idola.

“Saya jadikan Dolla idola kerana keberanian dan ketekunan mereka berjuang dalam industri muzik,” katanya.

Penyanyi lagu Mengikat Jiwa ini mengaku sebagai calon, pasti dirinya mengharapkan kemenangan.

“Daripada barisan 20 calon menjadi Top 5… Laluannya bukan mudah.

“Saya bertuah dan tidak akan melupakan momen ini berpunca daripada penyokong dan kelab peminat, Aishalicious.

“Pastinya dalam diri setiap calon mahu menang. Saya tidak terkecuali. Kalau rezeki berpihak kepada saya dan tidak

salah alamat, nescaya trofi itu akan berada dalam genggaman.

“Namun, jika sebaliknya, saya anggap rezeki itu milik orang lain,” katanya yang pernah tampil dengan lagu duet Terima Kasih bersama Yuka Kharisma.

Berkongsi perkembangan terbaru, Aisha bakal melancarkan single sulung dalam bahasa Inggeris, tidak lama lagi.

Lagu itu diciptanya bersama adik tersayang, Radityo.

“Single ini sangat dekat di hati. Ini kali pertama saya menjayakan sesi rakaman, kerja produksi dan penggambaran di rumah.

“Semoga lagu ini dapat mengikat hati peminat muzik. Insya-Allah, selepas itu, saya kembali merakamkan lagu bahasa Melayu pula,” katanya.

Kredit: Berita Harian

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *