KUALA LUMPUR: Cukup setahun berehat selepas menamatkan pengajian peringkat sarjana, penyanyi Najwa Latiff, 26, memulakan misi memburu gelaran doktor falsafah (PhD) dalam bidang Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pula.

Najwa atau nama sebenar, Imratul Najwa Abdul Latif mahu terus mencari ilmu dan memajukan dirinya sebagai pendidik.

“Sebaik habis pengajian peringkat sarjana, saya memang berniat menyambung hingga peringkat PhD. Cuma, saya berehat setahun sebab sebelum ini, saya belajar secara berterusan.

“Alhamdulillah, saya sudah bersedia meluangkan masa tiga tahun lagi untuk belajar. Saya mahu faham bagaimana proses mendapatkan PhD.

“Selain itu, saya mahu cabar diri… Hendak mendapatkan PhD bukanlah suatu perkara senang. Jadi, saya mahu tengok sama ada boleh lalui atau tidak.

Dalam sibuk memburu gelaran PhD, Najwa dijangka melancarkan single baharu awal tahun hadapan. Foto NSTP
Dalam sibuk memburu gelaran PhD, Najwa dijangka melancarkan single baharu awal tahun hadapan. Foto NSTP

“Pada masa sama, saya mahu memperbaiki diri menjadi insan yang lebih baik,” katanya kepada BH Online.

Sebelum ini, Najwa menamatkan pengajian sarjana dalam bidang TESL di Universiti Malaya (UM) pada 2019.

Bertanya mengenai pembahagian masa, Najwa mengaku sudah biasa dengan jadual harian padat.

Sehubungan itu, kesibukan sebagai pensyarah tetap subjek Bahasa Inggeris di UNITAR International University dan pelajar PhD, bukanlah suatu masalah.

Sebaliknya, Najwa berkata, pengajian peringkat PhD memberikan dirinya banyak manfaat.

“Sepanjang pandemik COVID-19, saya banyak mengajar dari rumah. Jadi, masih banyak ruang untuk hadir kelas. Disebabkan itu, saya terfikir mengapa tidak sambung belajar.

“Lagipun, program PhD ini memberi saya masa antara tiga hingga enam tahun (untuk menamatkannya).

“Saya fikir boleh memberikan komitmen dalam tempoh itu. Saya tiada rugi apa-apa, selain saya dapat ilmu, usaha ini juga memberi kebaikan dalam perkembangan karier saya,” katanya.

Najwa berkata, usahanya menyambung pengajian bukanlah atas niat menjadi contoh atau ikutan.

“Saya tidak pernah fikir mahu memberi inspirasi kepada orang lain. Saya lebih memikirkan apa yang terbaik buat saya.

“Kalau saya fikir mahu beri inspirasi kepada orang lain, kalau saya tak boleh buat, susah juga.

“Jadi, saya mahu buat apa yang saya mampu. Jika orang tengok dan fikir ia adalah perkara yang baik untuk diikuti, Alhamdulillah,” katanya.

Selain itu, Najwa yang popular dengan lagu Cinta Muka Buku berkata, biarpun sibuk menjadi pensyarah dan pelajar PhD, dia tidak melupakan karier nyanyian.

Berikutan itu, Najwa akan tampil dengan konsert terbitan RTM, Hiburan Minggu Ini (HMI) dan melancarkan single terbaharu, awal tahun hadapan.

“Konsert HMI adalah bagi meraikan 10 tahun pembabitan saya di dalam industri. Melaluinya, saya boleh memperkenalkan diri kepada mereka yang tidak tahu diri ini.

“Saya juga gembira diberi peluang mempromosikan karya baharu,” katanya.

Kredit: Berita Harian

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *