KUALA LUMPUR: Sekian lama menyimpan rahsia, pasangan selebriti, Nabil Mahir dan Ayda Jebat akhirnya mengumumkan bakal mendapat anak perempuan.
Berkongsi berita gembira menerusi sidang media secara virtual, malam ini, Ayda atau nama sebenarnya, Nor Suhada Jebat, 29, memaklumkan bayinya itu bakal dilahirkan secara pembedahan pada penghujung September ini.
“Pada mulanya, kami mahu membiarkan jantina bayi dirahsiakan, ada sedikit kejutan. Namun, doktor yang membuat pemeriksaan terlepas cakap.
“Sebenarnya, saya dan Ayda tak kisah soal jantina anak. Asalkan, bayi sihat dan cukup sifat, itu sudah memadai,” kata Nabil kepada BH Online.
Mengenai nama anak, Nabil mahupun Ayda masih belum memutuskan nama yang sesuai.
“Ada beberapa nama yang dalam fikiran, tetapi kami masih belum pilih mana yang sesuai. Apa yang penting, nama bayi mestilah mempunyai makna baik dan menjadi satu doa,” kata Nabil yang juga pelakon dan bekas pengacara program televisyen.

Memilih kaedah pembedahan untuk melahirkan anak sulungnya itu, penyanyi lagu Pencuri Hati dan Temberang itu memaklumkan, ia sudah diputuskan sejak sebelum mendirikan rumah tangga lagi.
“Memang tiada sebab spesifik mengapa saya memilih kedah pembedahan untuk melahirkan anak. Malah, ia juga sudah diputuskan sebelum berkahwin lagi.
“Saya sudah beritahu Nabil mengenai hasrat lebih awal. Apabila doktor bertanyakan perkara ini, saya memberikan jawapan sama, pilih kaedah pembedahan.
“Ini memang pilihan saya, tiada ada kena mengena dengan kesihatan ataupun bayi. Kami berdua sihat. Alhamdulillah.
“Jika ikutkan saya akan melahirkan bayi pertama pada 8 Oktober depan.
“Namun, apabila pilih untuk dibedah, tarikh dipercepatkan dua minggu lebih awal iaitu pada penghujung September depan,” katanya.
Belum dilahirkan, Ayda berkata, bayi sudah mendapat perhatian pelbagai syarikat yang ingin menawarkannya menjadi duta produk.
“Ada beberapa syarikat yang datang berjumpa melahirkan hasrat melamar bayi sebagai duta produk. Alhamdulillah, saya sifatkan tawaran ini sebagai rezeki.
“Nampaknya, kami kenalah buka akaun Instgram (IG) untuknya,’ ujar Ayda sambil tertawa.
April lalu, Ayda mengesahkan dirinya hamil empat bulan.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga di Masjid Al-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail pada 1 Januari lalu.
Kredit: Berita Harian