(kanan) JAM yang diberikan kepada Helen Yap. (kiri) Helen Yap

Kuala Lumpur: Penyanyi Allahyarham Siti Sarah Raissudin, 37, diakui seorang individu yang amat mengenang budi dengan mereka yang bekerjasama dan bertanggungjawab menaikkan namanya dalam industri muzik tanah air.

Perkara ini diakui komposer terkenal Helen Yap dalam satu perkongsian di Facebook.

“Sebenarnya tak ramai tahu selepas kami, penerbit dan komposer album Siti Sarah iaitu Kesetiaan menang AIM 2003 (Anugerah Industri Muzik Malaysia) untuk Album Pop Terbaik dan Album Terbaik 2003, Siti Sarah dengan besar hatinya menghadiahkan kami, jurutera bunyi dan syarikat rakaman NAR Records jam tangan jenama Guess sebagai hadiah penghargaan.

“Semua individu di sebalik tabir pembikinan album itu dihadiahkan jam itu. Kami juga dijemput untuk menghadiri majlis makan malam dan kesyukuran di rumahnya.

“Pada usia yang muda ketika itu, saya berpendapat Sarah menunjukkan rasa bersyukur, berterima kasih serta mengenang budi terhadap semua yang menolong beliau untuk kejayaan cemerlang album Kesetiaan,” katanya.

Helen berkata, pemberian ini sesuatu yang amat sentimental dan masih disimpan sehingga hari ini. “Sampai hari ini saya masih simpan jam tangan ini yang ada sungguh cantik sebagai kenangan manis,” tulisnya di Facebook.

Terdahulu, komposer Ajai turut melahirkan pandangan serupa apabila menyifatkan Sarah cukup tinggi budi pekertinya.

Menurutnya, peluang bekerja dengan penyanyi berbakat luar biasa itu akan dikenangnya sampai bila-bila dan sungguh bermakna.

Dia juga akan sentiasa mengagumi keperibadian Siti Sarah sebagai seorang insan yang cukup mulia.

Ajai juga tidak menyangka lagu Semakin Benci Semakin Cinta menjadi karya terakhir nukilannya untuk dinyanyikan arwah.

Siti Sarah disahkan meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM (HCTM) akibat Covid-19 pada jam 5.13 pagi Isnin lalu dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak.

KREADIT : HARIAN METRO

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *