KUALA LUMPUR: Perasaan berbelah bahagi menguasai diri penyanyi yang kini bergelar hero filem, Naqiu apabila Nabil Ahmad menawarkan membintangi filem pertama arahannya berjudul Mat Bond Malaya.

Juara program realiti, Gegar Vaganza (GV) musim keenam itu menerima lamaran pelawak dan pengacara popular itu ketika sedang bersiap sedia untuk konsert akhir GV6, dua tahun lalu.

Namun, bekas vokalis kumpulan Boboy itu akhirnya bersetuju apabila mendapat tahun maestro muzik yang juga ‘tok guru’, Datuk Ramli MS atau Tok Ram turut membintangi karya sulung terbitan syarikat produksi Nabil, KMN Production itu.

Naqiu berkata, dia agak terkejut apabila Nabil menawarkannya menjadi hero filem.

“Saya masih ingat lagi. Waktu itu, saya sibuk bersiap dalam tandas untuk persediaan konsert akhir GV6 dan Nabil datang bertanyakan tawaran berlakon filem. Apa yang menariknya, Nabil melamar saya di hadapan Tok Ram.

“Mulanya, saya dalam dilema mahu terima atau sebaliknya. Saya segan ditawarkan berlakon filem depan Tok Ram. Saya beritahu tidak pernah berlakon filem, jadi tidak berani terus menerima tawarannya.

“Tetapi, apabila Nabil beritahu Tok Ram turut berlakon dalam filem Mat Bond Malaya, saya terus berubah fikiran. Dalam hati terdetik, jika Tok Ram boleh, kenapa saya tidak mahu mencuba dan mencabar diri?

“Bagaimanapun, saya minta Nabil mengajar selok-belok dalam lakonan. Saya tidak mahu penonton melihat saya sekadar pelakon, tetapi lakonan tidak meninggalkan impak. Besar harapan saya dapat memperoleh ilmu berguna menerusi filem Mat Bond Malaya,” katanya kepada BH Online.

Bagaimanapun, Naqiu atau nama sebenarnya, Wan Naqiuddin Mohd Najib berkata, dia tidak sempat menghadiri kelas lakonan berikutan kesibukan dengan penggambaran filem, tahun lalu.

Katanya, jiwanya terhadap dunia lakonan masih belum benar-benar bercambah pada masa itu.

“Saya hanya bergantung kepada Nabil sepenuhnya. Ketika itu, saya belum ada jiwa sebagai pelakon. Jujurnya, saya tidak tahu pun apa maksud karakter.

“Bagaimanapun, apabila membintangi filem ini, barulah saya faham maksud karakter.

“Minat dalam lakonan makin menebal selepas membintangi filem Mat Bond Malaya. Saya belajar banyak benda baharu. Saya sangat kagum dengan Nabil kerana seorang pengarah yang tahu apa dimahukan ketika berada di lokasi penggambaran,” katanya.

Naqiu kagum dengan Nabil kerana seorang pengarah yang tahu apa dimahukan ketika berada di lokasi penggambaran. - Foto Ihsan KMN Production
Naqiu kagum dengan Nabil kerana seorang pengarah yang tahu apa dimahukan ketika berada di lokasi penggambaran. – Foto Ihsan KMN Production

Anak kelahiran Skudai, Johor itu berkata, Nabil sangat serius ketika bekerja, tahu apa yang diinginkan dan tidak suka melakukan kesilapan. Ini kerana sebelum penggambaran bermula, Nabil akan melakonkan sendiri setiap babak bersama jurukamera.

“Kemudiannya, Nabil akan tunjukkan kepada pelakon apa yang perlu dilakukan. Dengan cara ini, tempoh penggambaran jadi lebih mudah dan menjimatkan masa.

“Jadi, penggambaran akan selesai sekitar jam 6 petang, setiap hari. Paling lewat pun sekitar jam 7 malam,” katanya yang mahu melakukan sendiri babak aksi.

Mengulas hero gandingannya, Elizabeth Tan atau Lizzy, Naqiu berkata, dia terkejut kerana menganggap gandingan dengan pelakon seksi itu seperti tidak sepadan.

Biarpun digandingkan, bapa kepada lima cahaya mata itu berkata, dia jarang mempunyai kesempatan untuk berbual dengan Lizzy.

“Saya boleh hitung berapa kali kami berborak, hanya sebelah tangan sahaja. Saya memang terlalu sibuk ketika penggambaran. Saya perlu membahagikan masa antara jadual nyanyian dan penggambaran, jadi saya tidak banyak berkesempatan berbual dengan Lizzy.

“Saya tidak kisah sekiranya ada menganggap gandingan saya dan Lizzy tidak sepadan, memandangkan Lizzy cantik. Saya juga tidak kisah jika penonton ketawa kami, itu bermakna lakonan menjadi,” katanya.

Bercerita mengenai kerjaya nyanyian, Naqiu berkata, dia bersyukur rezekinya dipermudahkan biarpun sedang diuji dengan pandemik sehingga menyebabkan ramai penggiat seni hilang punca pendapatan.

Bagaimanapun, katanya, dia hanya berkongsi apa yang dilakukannya selepas pelaksanaan Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berakhir.

Selain mengetengahkan Naqiu, Lizzy dan Tok Ram, filem Mat Bond Malaya turut membariskan nama besar seperti Datuk Yusof Haslam, Datuk Seri Alif Syukri, Mamat Khalid, Michael Ang, Ghaz Abu Bakar, Aziz M Osman, Didie Alias, Ning Baizura dan Syafiq Kyle sebagai penampilan khas.

Turut membintangi, Riezman Khuzaimi, Azri Iskandar, Farid Azmeir, Amyza Aznan, Aloy Paradoks, Achey, Mamak Puteh, Reza Hasbi dan Han Byul.

Selain bergelar penerbit dan pengarah, Nabil juga bertindak selaku penulis skrip dan lakon layar untuk filem Mat Bond Malaya yang menemui penonton menerusi saluran Astro First pada Aidiladha, Selasa lalu.

Kredit: Berita Harian

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *