KUALA LUMPUR: Peruntukan RM100 juta dalam bentuk kemudahan pembiayaan dan sokongan bantuan kewangan kepada lebih 8,000 penggiat seni dalam Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, disambut gembira penggerak industri kreatif.
Menganggap bantuan kerajaan mampu merangsang semula industri seni kreatif yang terjejas akibat pandemik COVID-19, persatuan mewakili anak seni, pengarah dan penerbit bagaimanapun berharap peruntukan RM100 juta disalurkan kepada penerima layak agar tidak dipersiakan.
Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Ahmad Ibrahim, berkata kerajaan wajar memperincikan agihan peruntukan RM100 juta dan menyelaraskannya demi kepentingan semua penggiat seni.
“Kami berterima kasih atas keprihatinan kerajaan menyalurkan peruntukan kepada lebih 8,000 anak seni.
“Namun, persoalannya, bagaimana kerajaan mendapatkan data (jumlah penerima) dan siapa penggiat seni yang layak mendapatkan peruntukan itu?
“Setakat ini, tiada pemberitahuan secara teliti mengenai agihan peruntukan itu. Turut menjadi persoalan adalah agensi mana yang bakal mengagihkannya?https://fbe87bcbc9eb3ca099fd6a285dbda247.safeframe.googlesyndication.com/safeframe/1-0-38/html/container.html
“Apakah tanggungjawab itu diberi kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS)?” katanya kepada BH Online.
Ahmad berkata, FDAM bimbang andai peruntukan itu disalurkan kepada pihak salah.
“Kami tidak mahu individu yang sepatutnya terima agihan itu, tidak dapat, sebaliknya, orang yang tidak berkenaan pula menerimanya.
“Saya berharap ada agensi bebas yang dipercayai ketelusannya dan memiliki data lengkap (penggiat seni) dilantik bagi mengagihkan peruntukan RM100 juta itu,” katanya.
Ahmad yang dikenali sebagai Mat London berkata, tiga persatuan teras mempunyai data lengkap penggiat seni iaitu FDAM, Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) dan Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA).
“Mengapa tiga persatuan ini tidak dirujuk? Organisasi inilah yang patut dirujuk kerana kami ada data anak seni membabitkan 25,000 ahli berdaftar dengan kira-kira 12,000 anak seni aktif.
“Daripada jumlah itu, sepanjang tempoh fasa ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kira-kira 9,000 ahli aktif dalam lapangan masing-masing.
“Data menunjukkan 80 peratus daripada kira-kira 9,000 ahli yang aktif adalah dalam medium televisyen (TV) dan selebihnya filem, iklan serta animasi.
“Setiap syarikat produksi pula mempunyai purata 40 petugas atau anak seni yang mencari rezeki,” katanya.
Ahmad berkata, kerajaan wajar menjelaskan mengenai kelayakan memohon peruntukan PEMULIH sebagai panduan.
“Siapa antara 8,000 orang yang layak terima bantuan itu? Bagaimana syarat atau kelayakan ditetapkan? Kerajaan perlu tahu data tepat agar peruntukan ini diterima secara menyeluruh.
“Ramai orang tahu, sudah lebih sebulan penggiat seni tidak bekerja. Bantuan seperti ini sangat berguna. Apatah lagi, sebelum ini, imbuhan yang diberi kerajaan bukan untuk orang seni,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Pansha meminta penjelasan kerajaan mengenai bagaimana agihan peruntukan RM100 juta diselia.
“Jika diikutkan, persatuan seni berdaftar di Malaysia dan jumlah ahli yang mencari rezeki melebihi peruntukan itu. Jadi, soalnya, siapa yang kawal selia dan mendapat agihan dana itu.
“Niat bantuan itu ikhlas… Saya menghargainya ketika ramai penggiat seni bergelut.

“Cuma saya kabur… Kita tidak tahu dalam anggaran lebih 8,000 yang bakal menerima peruntukan itu, siapa yang bernasib baik dan siapa pula tercicir,” katanya yang turut menyarankan usaha dibuat agar proses suntikan vaksin COVID-19 penggiat seni dipercepatkan.

Sementara itu, penerbit dan pengarah, Datuk Yusof Haslam berharap agihan peruntukan RM100 juta dipercepatkan.
“Ini suatu usaha murni kerajaan membantu penggiat seni yang berdepan tekanan hidup. Harapan saya agar bantuan ini disalurkan segera kerana ramai yang terkesan sejak fasa pertama PKP,” katanya.

Pemilik Syarikat Pencil Pictures & Records, Datuk Ayu Puteh juga tertanya mengenai kelompok sasaran atau penerima peruntukan RM100 juta itu.
“Bantuan diberi cukup bermakna kepada kami. Tetapi apakah agihan dana itu menyeluruh kepada mereka yang benar-benar memerlukan?
“Bagaimana nasib pekerja belakang tabir, contohnya. Saya dengar ada yang ikat perut, makan mi segera dan dihalau dari rumah sewa,” katanya.
Ayu berkata, penerbit sepertinya mengharapkan projek kerajaan melalui stesen televisyen (TV).
“Jika diikutkan, bayaran menerbitkan drama tak banyak pun. Untung pun sama, tak banyak mana… Modal sahaja tinggi. Tetapi kita buat sebab minat hendak terus berkarya,” katanya.
Ayu mengaku memberi bantuan peribadi kepada beberapa kru yang terdesak akibat terputus mata pencarian.
“Pandemik COVID-19 sudah hampir dua tahun. Sekejap dapat ‘shooting’, sekejap tidak. Ketika dibenarkan bekerja, kru tidak cukup gaji, apatah lagi dalam keadaan sekarang,” katanya.
Sementara itu, pengarah terkenal, Ghaz Abu Bakar risau memikirkan nasib kru yang bekerja secara ‘freelance’ atau dibayar mengikut projek.
“Setiap kali ada penggambaran, mereka dibayar. Mereka sudah lama tidak bekerja dan ada banyak tanggungan.

“Saya sedih memikirkan nasib mereka. Saya bantu mengikut termampu. Mereka terdesak dan memerlukan wang… Bukan tunggu dua bulan lagi,” katanya.
Ghaz yang juga Presiden Pertubuhan Kandungan Kreatif Digital Malaysia (DCAM) turut bertanya bila peruntukan RM100 juta PEMULIH itu mula diagihkan.
“Ke mana dana diberi dan kepada siapa? Apakah perlu seminar atau bengkel menjana wang dianjurkan? Sedangkan ada kru yang tiada kepakaran dalam bidang yang mereka terokai dan akan mengambil masa untuk belajar.
“Jika diikutkan, ada banyak kementerian yang mahu memberi dana. Namun, kaedah dan pelaksanaannya tidak pasti sepantas mana.
“Hakikatnya, wang diperlukan segera kerana ramai yang terkesan dan mahukan bantuan,” katanya.
Ghaz berkata, fasa pertama PPN termasuk Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang menghalang aktiviti merentas daerah membataskan penghasilan kandungan bermutu apabila semua kerja dilakukan atas talian andai peruntukan diterima.
Kredit: Berita Harian