KUALA LUMPUR: Mempertaruhkan genre M-pop, kemunculan Nona yang juga anak didik kepada pasangan penyanyi suami isteri, Akim Ahmad dan Stacy, merancakkan lagi segmen ‘girl band’ dalam pasaran muzik tempatan.

Bukan mahu bersaing dengan Dolla, Nona dianggotai Raja Nuraizureen Raja Azahari atau Nona Raja, 25; Low Kar Yee Angela (Nona Lela), 26 dan Erika Rianty Anthony (Nona Rika), 21.

Memperkatakan mengenai Nona, Stacy menjelaskan ‘girl band’ itu bukan mahu menyaingi populariti Dolla.

“Soal dibandingkan dengan kumpulan penyanyi wanita lain tidak boleh dielak. Ini adalah perkara biasa dalam bidang muzik.

DISYORKAN UNTUK ANDA

“Kami mahu menyajikan sesuatu yang baharu kepada peminat… Ia lebih kepada persaingan sihat.

“Inilah kerja kami sebagai anak seni. Sejak kebelakangan ini, peminat semakin suka dengan ‘girl band’.

Nona mempertaruhkan single Kasuari ciptaan Hang Nadim dan Bunga Cantik. Foto Ihsan Syarikat Rhythm & Rhyme Entertainment
Nona mempertaruhkan single Kasuari ciptaan Hang Nadim dan Bunga Cantik. Foto Ihsan Syarikat Rhythm & Rhyme Entertainment

“Dahulu saya pernah menganggotai kumpulan Evoke, jadi ada pengalaman sedikit. Apabila Dolla dan De Fam muncul, sedikit sebanyak ia memberi warna,” katanya kepada BH Online.

Stacy berkata, Nona mempertaruhkan single sulung berjudul Kasuari ciptaan Hang Nadim dan Bunga Cantik.

“Lagu dan video muzik sudah siap, Mac lalu. Namun, disebabkan menghampiri Ramadan, kami ambil keputusan menangguhkan pelancarannya.

“Genre pop dipilih berdasarkan perbincangan dan keputusan semua pihak. Ahli kumpulan Nona juga selesa dengan genre ini dan mahu mengetengahkan M-Pop,” katanya.

Sementara itu, mewakili rakan-rakan lain, Rika memberitahu, Nona mahu memberi yang terbaik kepada peminat.

“Bagi kami, tidak timbul soal bersaing. Masing-masing ada kelebihan sendiri. Dolla sudah ada peminat sendiri, kami pula masih baharu.

“Apa yang diharapkan adalah sokongan daripada semua pihak.

“Single ini adalah peluang untuk kami menonjolkan bakat yang ada. Kami percaya peminat muzik ada cita rasa berbeza,” katanya.

Kredit: Berita Harian

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *