KUALA LUMPUR – Pasangan suami isteri, Asyraf Khalid dan Tya Arifin mengakui sudah memohon maaf kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza di atas insiden memuat naik gambar anak kedua penyanyi popular berkenaan Isnin lalu.
Ia termasuk video memaparkan suasana Siti menerima kunjungan ramai tetamu di sebuah hospital di Selangor selepas melahirkan anak kedua pada 19 April lalu tular sehingga didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP).
Pasangan berkenaan ketika ditemui di majlis berbuka puasa di Wisma Mutyara semalam mengakui sudah memadamkan video dan gambar dimaksudkan di Instagram dan YouTube.
“Kami sudah berhubung dengan Mak Iti (Siti Nurhaliza) memohon maaf melalui aplikasi WhatsApp dan panggilan telefon. Cuma Mak Iti berpesan jadikan perkara terjadi sebagai iktibar pada masa akan datang.
“Insya-Allah kami akan melawat Mak Iti berpantang di rumahnya hujung minggu ini,” kata Asyraf lagi.
Asyraf yang juga ketua pegawai eksekutif jenama jamu kesihatan Mutyara itu berkata, apa yang dilakukannya sebagai abang yang teruja berkongsi gambar dan momen kehadiran adiknya.
“Cuma tak sangka perkongsian itu jadi begini. Apa yang dilakukan hanya berdasarkan pengalaman dan rasa suka. Lepas benda ini tular, memang rasa tak seronok dengan Mak Iti. Hal terjadi tak fasal fasal timbul cerita macam macam.
“Apa terjadi memang bukan salah Mak Iti atau sesiapa. Salah itu datangnya daripada kami. Minta maaf juga kepada sesiapa yang terguris hati termasuk Mak Iti sendiri,” katanya.
Kata bapa kepada dua cahaya mata itu lagi, dia dan isterinya masuk ke pusat perubatan dengan mematuhi SOP.
“Kami masuk hospital dengan memakai pelitup muka, jaga jarak termasuk melakukan pengimbasan kod QR My aplikasi MySejahtera dan pengambilan suhu badan. Kami datang berdua. Ambil video pun dengan telefon bimbit sendiri.
“Tak timbul juga isu kami cuba menumpang populariti mencari kandungan digital membabitkan Mak Iti. Isteri saya sendiri sudah terbiasa membuat vlog saban hari,” katanya.
Sementara itu, Tya pula mengakui apa yang terjadi sesuatu yang canggung buat dirinya.
“Jujur rasa bersalah dengan apa yang terjadi. Walaupun sudah minta maaf kepada Mak Iti, ayah (Datuk Seri Khalid Mohamed Jiwa) dan mereka di luar sana masih rasa tak seronok.
“Memang ramai yang marah dan mereka berhak rasa begitu. Sempena bulan Ramadan ini, baik saya dan suami tak mahu memanjangkan lagi perkara ini. Buang yang keruh, ambik yang jernih.
“Sebaiknya biarlah Mak Iti berpantang dan membesarkan anak keduanya dengan tenang. Sebagai ibu, momen inilah yang ditunggu Mak Iti untuk melihat anaknya membesar,” katanya. – MalaysiaGazette
Kredit: MALAYSIA GAZETTE