KUALA LUMPUR: Dalam menyajikan kandungan terbaik sepanjang Ramadan, Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN) meneruskan inisiatif tanggungjawab sosial membantu peniaga kecil yang terjejas akibat penularan pandemik COVID-19, sejak lebih setahun lalu.

Melancarkan kempen Salam Sayang, iaitu kesinambungan kempen Setulus Ikhlas tahun lalu, MPTN melalui TV3 dan TV9 menggerakkan Misi Salam Sayang, menyedari masih ada sebilangan usahawan kecil yang bergelut dengan keperitan hidup terutama dalam meneruskan perniagaan.

Ketua Pegawai Eksekutif MPTN dan Primeworks Studios, Datuk Khairul Anwar Salleh, berkata kempen Salam Sayang yang dilancarkan di TV9, Jumaat lalu, mencakupi pelbagai aspek dalam mengisi Ramadan baik kepada penonton dan kumpulan sasaran.

“Tema Salam Sayang dipilih sebagai kesinambungan kepada Setulus Ikhlas yang dibawakan tahun lalu.DISYORKAN UNTUK ANDA

“Salam Sayang membawa banyak makna dalam kehidupan harian kita.

“Lebih penting, kempen ini menyuntik elemen kasih sayang sesama insan, rasa hormat, keikhlasan dan memberi sokongan kepada mereka yang berhadapan dengan situasi getir akibat penularan pandemik COVID-19 melalui Misi Salam Sayang,” katanya kepada BH Online.

Khairul Anwar berkata, misi berkenaan yang diperkasa TV3 dan TV9 bertujuan membantu usahawan kecil memperluaskan perniagaan mereka.

“Objektif kami adalah untuk menyebar rezeki dan memperluaskan jalinan kepada mereka yang hilang pekerjaan.

“Misi murni ini dijangka dapat membantu memulihkan semula semangat mereka untuk mencari rezeki,” katanya.

Sehubungan itu, Khairul Anwar berkata, TV3 menyediakan platform Misi Salam Sayang kepada pengusaha kecil dengan mempromosikan produk dihasilkan dalam laman sosial TV3 Malaysia.

“TV3 juga akan membeli barangan atau produk mereka untuk disedekahkan kepada golongan memerlukan.

“Aktiviti khidmat masyarakat (CSR) ini akan dianjurkan setiap Jumaat sepanjang Ramadan,” katanya.

Khairul Anwar berkata, menjelang akhir Ramadan, pihaknya akan menayangkan kompilasi video eksklusif 30 minit mengenai kejayaan Misi Salam Sayang kepada penonton.

“Misi ini bertujuan menceriakan Ramadan kepada mereka yang terkesan,” katanya sambil menambah maklumat lanjut boleh didapati dengan melayari www.xtra.com.my/salamsayang.

Sementara itu, TV3 dan TV9 meneruskan tradisi menyajikan program menarik sepanjang Ramadan dan Aidilfitri merangkumi pelbagai genre seperti keagamaan, drama, bual bicara, gaya hidup dan hiburan.

“Penonton juga boleh membeli-belah dan membuat persiapan Aidilfitri dalam program Jom Heboh Di Rumah – Raya Bersama Shopee yang akan disiarkan selama dua hari mulai 4 Mei depan.

“Seperti tahun sebelumnya, TV3 dan TV9 terus memaparkan pelbagai kandungan menarik untuk sajian penonton.

“Sebagai contoh, program kerohanian iaitu Jejak Rasul yang wajib ditonton setiap Ramadan meneruskan perjalanannya walaupun produksi terpaksa berdepan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” katanya.

Sementara itu, kempen Salam Sayang mengundang juara Famili Duo, Amyza Aznan dan anaknya, Adrian Adam mendendangkan lagu tema berjudul Salam Sayang ciptaan Sharon Paul.

Menemui Amyza, selepas kejayaan di pentas Famili Duo, rezeki anaknya mencurah-curah.

“Saya dan anak merakamkan lagu ini, dua minggu lalu. Pada awalnya, kami merancang untuk menerbitkan lagu komersial, bukannya lagu raya.

“Pada mulanya, Adrian mahu merakamkan lagu lama ciptaan Sharon secara medley iaitu Gundah dan Sampai Bila.

“Tetapi, Sharon beritahu, Ramadan dan Aidilfitri makin hampir, jadi lebih baik tukar rancangan.

Amyza dan anaknya, Adrian merakamkan lagu tema kempen Salam Sayang berjudul Salam Sayang ciptaan Sharon. Foto Ihsan TV3
Amyza dan anaknya, Adrian merakamkan lagu tema kempen Salam Sayang berjudul Salam Sayang ciptaan Sharon. Foto Ihsan TV3

“Lalu terhasillah lagu raya duet saya dengan Adrian. Tidak sangka pula lagu ini diangkat sebagai lagu tempen kempen Salam Sayang di TV3 dan TV9,” katanya.

Kredit: Berita Harian

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *