KUALA LUMPUR: Tatkala mula menampakkan tanda penyelesaian, isu royalti penyanyi dan pemuzik yang hangat diperkatakan sejak akhir tahun lalu, timbul lagi.
Baru-baru ini, penggiat muzik ‘otai’ yang juga bekas ahli Performers Rights and Interest Society of Malaysia Berhad (PRISM), mendakwa hanya 200 ahli menerima royalti, sedangkan 1,400 ahli lain tidak mendapat sesenpun agihan, susulan pengumuman bayaran pendahuluan royalti tertunggak sebanyak RM500 seorang dibuat kerajaan, Januari lalu.
Tampil meminta penjelasan, tiga bekas ahli PRISM iaitu komposer, Othman Masri; penyanyi, Datuk Nash atau nama sebenar, Nasharudin Elias dan vokalis XPDC, Ali mahu pihak berkepentingan telus dalam soal agihan royalti terutama dalam soal kelayakan penerima.
Othman, 68, yang lebih dikenali sebagai Man Senoi, membangkitkan soal agihan RM500 melalui Unlogged Performance Allocation (UPA) bernilai RM11.7 juta yang diumumkan, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid, Januari lalu.DISYORKAN UNTUK ANDA
- Kembalikan fungsi Music Rights Malaysia
- ‘Artis keliru agihan royalti’
- Kira-kira 1,000 ahli RPM, PRISM dapat royalti
- Tubuh komuniti elak seleweng agih royalti
“Pada pengetahuan saya, UPA adalah wang yang diberi bagi membantu ahli, di mana dalam hal ini, sama seperti ahli Recording Performers Malaysia Berhad (RPM) terima.
“Amaun ini tidak mengikut jumlah penggunaan lagu oleh pelaku kerana ia datang daripada jumlah kutipan yang tidak dituntut bertahun-tahun.
“Jadi, kami bersuara, mengapa hanya 200 ahli PRISM sahaja yang terima royalti ini? Bagaimana dengan 1,400 ahli lain?
“Sepatutnya, semua ahli menerima UPA dan disusuli dengan bayaran royalti,” katanya kepada BH Online.
Pada 26 Januari lalu, penantian penggiat seni muzik yang terkesan dengan pembubaran konsortium Music Rights Malaysia (MRM) sejak dua tahun lalu, berakhir, apabila mereka dilaporkan mula menerima bayaran pendahuluan royalti tertunggak sebanyak RM500 setiap seorang, tiga hari selepas pengumuman dibuat.
Rosol dilaporkan berkata, agihan pertama bakal dimanfaatkan lebih 1,500 penyanyi dan pemuzik rakaman yang menjadi ahli RPM dan PRISM yang layak.
Othman juga membangkitkan persoalan ‘mandat’ yang dikatakan menjadi punca sebahagian besar ahli PRISM tidak menerima bayaran pendahuluan royalti.
“Pihak berwajib beritahu mandat hilang bersama karya kami. Mereka mendakwa MDI yang bertanggungjawab. Sekarang kami yang menjadi mangsa.
“Selama 40 tahun berkecimpung dalam industri muzik, saya tidak pernah mendengar soal mandat yang hilang,” katanya.
Menjelaskan isu ‘mandat’, Othman berkata, borang mandat adalah antara dokumen yang perlu diisi bagi individu yang mahu menyertai PRISM.
“Jika kita mahu sertai PRISM, perkara pertama yang perlu adalah mandat. Apabila ada mandat, barulah PRISM dan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPI) boleh beri lesen.
“Kalau seseorang itu bukan ahli atau tiada mandat, dia tidak boleh mendapatkan lesen,” katanya.
Othman hairan bagaimana soal mandat yang ditandatangani setiap ahli ketika menyertai PRISM sebagai suatu bentuk perisytiharan, boleh dikatakan hilang sedangkan organisasi itu juga melaksanakan fungsinya sebelum dibubarkan.
Othman yang pernah menguruskan kumpulan 4U2C dan mencipta lagu untuk kumpulan rap itu, kecewa dianiaya dalam soal bayaran royalti.
“Mandat itu ada tetapi mereka buat kami seperti peminta sedekah.
“Ini yang kami pertikaikan kerana mereka kata kami perlu mandat. Jika tiada mandat, risau tersalah agih.
“Kami dalam keadaan susah… Bagaimana hendak cari makan kerana sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semua aktiviti persembahan tidak dibenarkan,” katanya.
Othman sedar pengendali agihan royalti bukan badan kebajikan, namun, apa yang dituntut adalah hak mereka sebagai penyanyi dan pemuzik.
Sementara itu, Ali atau nama penuh, Mohd Ali Ismail berharap penjelasan terperinci dibuat pihak yang bertanggungjawab mengagihkan royalti kepada penyanyi dan pemuzik.
“Diharap pihak bertanggungjawab dapat membuat kerja dengan telus dan jelas.
“Kalau boleh biarlah ada ketelusan, mengapa yang terpilih sahaja dapat dan mengapa yang tidak tersenarai, tiada bayaran?
“Bagaimana agihan royalti dibuat? Bagaimana pula dengan 200 ahli PRISM yang dikatakan sudah diagihkan royalti? Siapa mereka?
“Maaf… Saya tidak rasa seronok melihat bagaimana agihan dibuat. Pada waktu sekarang, RM500 nilainya seperti RM5,000. Kalau boleh, bahagilah sama rata,” katanya.
Penyanyi Nash pula membangkitkan soal kelayakan pemuzik dan penyanyi menerima agihan wang pendahuluan royalti.
“Kita hormat dengan hasil mesyuarat. Apabila kita hormat, kita tahu, itu bukan hak kita.
“Namun, bagi saya, bayaran itu adalah hak kepada pihak terbabit, iaitu PRISM.
“Jadi, kita tidak boleh sewenang-wenang menyatakan seseorang itu tiada hak. Kita perlu hormat setiap individu yang ada kaitan dengan perkara ini,” katanya.
Nash membangkitkan persoalan mengapa ada ahli ‘tercicir’ daripada menerima wang pendahuluan royalti dan alasan yang menyokong keputusan itu dibuat.
“Cuba bagi penjelasan… Apa istimewanya 200 bekas ahli PRISM yang menerima bayaran itu,” katanya.
Kredit: Berita Harian