KUALA LUMPUR: Kemelut rumah tangga pasangan selebriti Hollywood terkenal, Kim Kardashian, 40, dan Kanye West, 43, berakhir apabila superstar realiti televisyen, Keeping Up With The Kardashians itu memfailkan perceraian di Mahkamah Tinggi Los Angeles, Amerika Syarikat (AS), semalam.

The Associated Press melaporkan, berita perceraian pasangan selebriti terkenal itu disahkan wakil Kardashian, Christy Welder, namun tiada sebarang penjelasan terperinci mengenainya.ADVERTISING

Berdasarkan dokumen perceraian difailkan menerusi peguamnya, Laura Wesser, Kardashian dilaporkan turut memohon hak penjagaan bersama empat cahaya mata, North, 7; Saint, 5; Chicago, 3; dan Psalm, 1, selain bersetuju untuk membahagikan harta sepencarian.

Sehingga kini, masih belum ada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan pasangan berkenaan.DISYORKAN UNTUK ANDA

Spekulasi keretakan rumah tangga Kardashian dan West mula diperkatakan apabila pasangan berkenaan didakwa tidak tinggal sebumbung, sejak beberapa bulan lalu.

Mengikut sumber, Kardashian dilihat tidak lagi memakai cincin perkahwinan. West tinggal di ladang Wyoming, manakala Kardashian bersama anak-anaknya di Calabasas, California.

Kenyataan itu diperkukuhkan apabila kelibat lelaki berkenaan tidak kelihatan pada sambutan Krismas di kediaman adik iparnya, Kourtney, tahun lalu.

Bagaimanapun, demi anak-anak, Kardashian dan penyanyi rap popular itu pernah berusaha menyelamatkan rumah tangga dengan mendapatkan khidmat kaunseling perkahwinan.

Namun, tiada sebarang pengesahan mengenainya, malah mereka terus mengunci mulut mengenai krisis melanda rumah tangga yang dibina sejak tujuh tahun lalu sehinggalah berita Kardashian memfailkan perceraiannya diumumkan, semalam.

Ini adalah perkahwinan pertama West dan ketiga untuk Kardashian yang pernah mendirikan rumah tangga dengan pemain bola keranjang, Kris Humphries dan penerbit muzik, Damon Thomas.

Kim Kardashian dan Kanye West bersama empat cahaya mata, North, Saint, Chicago dan Psalm. - Foto IG Kim Kardashian
Kim Kardashian dan Kanye West bersama empat cahaya mata, North, Saint, Chicago dan Psalm. – Foto IG Kim Kardashian

Mengikut laporan USA Today, 2020 dianggap tahun sukar buat Kardashian dan West apabila berdepan dengan kemelut rumah tangga yang berpanjangan.

Ia bermula apabila West mengumumkan diri sebagai calon presiden sebuah parti politik yang gagal mendapatkan perhatian. West juga menimbulkan kebimbangan mengenai tahap kesihatan mentalnya semasa perhimpunan politik apabila berteriak tanpa mikrofon, menangis dan memberikan kenyataan yang sangat peribadi mengenai keluarganya.

Ini termasuk kenyataan liar menolak kehadiran anak pertamanya, North ketika Kardashian hamil. Dengan tangisan, West mengatakan Kardashian berjuang menjaga kandungan dan melahirkannya pada 2013.

Selain itu, West juga berterusan memuat naik ribuan ‘tweet’ yang membimbangkan, selain mendakwa ibu Kardashian, Kris Jenner seorang yang zalim. Keluarga Kardashian juga dituduh memaksanya menjalani rawatan psikiatri dan berusaha mengurungnya.

Kardashian membalas kenyataan West dalam laman Instagram (IG) dengan mendesak peminat mengasihani West yang sedang berjuang menghadapi penyakit mental.

“Saya faham West boleh dikritik. Dia orang awam dan tindakannya boleh menimbulkan kecelaruan emosi.

“Dia seorang yang cemerlang, tetapi rumit ketika berada di puncak tekanan sebagai artis dan orang kulit hitam. Kehilangan ibu begitu menyakitkannya, selain berdepan tekanan dan pengasingan oleh gangguan bipolar.

“Mereka yang mengenali West tahu isi hatinya. Kata-katanya tidak selari dengan niatnya,” tulis Kardashian dalam laman IG pada 22 Julai, tahun lalu.

Pasangan berprofil tinggi yang dikenali sebagai ‘Kimye’ itu mula berpacaran pada 2012 dan memiliki anak pertama setahun kemudian. Mereka berkahwin dalam upacara gilang gemilang di sebuah kubu abad ke-16 di Florence, Itali pada pada Mei 2014. – AGENSI

Kredit: BERITA HARIAN

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *