SHAH ALAM: Aktor Pembantu Filem Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-37 Adam Lee sudah lama teringin berlakon dalam drama atau filem aksi.

Namun, dia sering hampa setiap kali gagal selepas menjalani uji bakat.

Justeru, bagi membuktikan kemampuan, Adam menyertai acara sukan tempur, Fury Redemption, dengan harapan penyertaannya itu dapat membuka mata syarikat produksi seperti yang berlaku kepada pelakon, Ikmal Amry.

“Tujuan saya masuk perlawanan itu adalah untuk ubah persepsi yang mengatakan industri seni kita kekurangan pelakon aksi.

“Sebenarnya, kita tidak ada kekurangan pelakon aksi pun, cuma ramai tidak diberi peluang dan asyik ulang wajah sama.

“Jadi, tujuan saya sertai perlawanan ini adalah untuk buka mata syariikat produksi supaya beri peluang kepada kami. Saya hendak buktikan saya boleh berlakon aksi.

“Saya hendak jadi seperti Ikmal Amry. Saya dapat tahu, selepas dia sertai acara sukan tempur, dia dapat peluang berlakob filem aksi bersama Zul Ariffin,” katanya ditemui pada WHAM Pickleball With The Stars di sini, Jumaat lalu.

Adam berkata, dia lebih dikenali menerusi naskah romantik, justeru, suami aktres Sweet Qismina ini mahu keluar daripada zon selesa dan membuktikan dia pelakon versatil.

Bagaimanapun, ujar Adam, dia tidaklah terkilan walaupun namanya sering ditolak syarikat produksi.

“Saya sudah berusia 31 tahun dan saya dikenali sebagai pelakon drama atau filem romantik. Jadi, saya hendak keluar daripada kepompong itu dan hendak jadi versatil.

“Setakat ini, belum pernah lagi timbul rasa terkilan. Saya percaya itu adalah rezeki masing-masing. Cuma, saya hendaklah diberikan peluang itu,” katanya.

Adam berkata, dia tidak akan berputus asa untuk mendapat peluang berlakon drama atau filem aksi.

“Apa yang penting kita tak letak sifat dengki atau iri hati dalam diri. Kita kena fikir Allah ada bagi sesuatu yang mungkin orang lain tidak dapat,” katanya.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *