Kuala Lumpur: Pengarah filem, Ghaz Abu Bakar melangkah keluar dari zon selesanya dengan menghasilkan genre berbeza menerusi filem seram pertamanya, Qifarah.
Ghaz yang dikenali menerusi filem aksi Polis Evo berkata, dia cuba meneroka dimensi baharu dalam kariernya menerusi filem ini.
“Kali ini lahir satu lagi filem hasil buah tangan saya dan ia memang lain daripada apa yang saya pernah hasilkan seperti apa yang orang tahu.
“Saya lakukan dengan penuh kasih dan sayang terhadap pembikinan filem ini. Syafiq Yusof (pengarah) terkejut filem ini dilakukan dengan bajet sederhana tapi hasilnya begitu.
“Alhamdulillah… saya dapat sokongan sejak awal lagi bermula dari penghasilan skrip dari penerbit-penerbit saya. Bajetnya terhad dan shooting hanya 23 hari,” katanya.
Ghaz berkata, dia menghasilkan Qifarah dalam bentuk yang ada supaya semua dapat menonton di pawagam.
“Sebab itu saya menitikberatkan dari segi visual dan bunyi, jadi kita boleh nikmati suasana sebenar di dalam panggung wayang.
“Saya juga bersyukur filem ini tidak berdepan sebarang pemotongan babak oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF). Selepas dapat laporan daripada LPF, mereka kata tiada potongan dan saya pun terkejut.
“Saya rasa semasa tulis skrip dan dekat set kami sudah buat tapisan sendiri. Kami sudah mengenal pasti apa yang dibolehkan dan tidak terutama babak membabitkan kanak-kanak.
“Sudah tentu standard filem sekarang semuanya mahu tunjuk ‘gore’ (unsur keganasan atau kekerasan mengerikan). Tapi kami sudah buat tapisan sendiri kerana mungkin tak sesuai untuk kanak-kanak yang menonton,” katanya.
Filem terbitan Skop Productions dengan kerjasama My Way Pictures dan Astro Shaw serta Primeworks Studios sebagai rakan pemasaran rasmi ini ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai hari ini.