KUALA LUMPUR: Pelakon Datin Seri Umie Aida mengingatkan kakaknya, Erma Fatima supaya tidak terlalu terbuka berkongsi urusan peribadi dan perniagaan kerana bimbang mengundang iri hati serta hasad dengki.
Umie atau nama sebenarnya, Umi Khalsum Rahmad Ali, 51, secara bersahaja menyebut nama kakaknya yang juga pengarah terkenal, sambil menitip peringatan agar wanita berkenaan lebih berhati-hati sebelum berkongsi sesuatu kepada umum.
“Pengajaran apabila nak buat sesuatu terutama bisnes, jangan berkongsi dengan sesiapa, apatah lagi kawan-kawan yang sealiran dengan kita. Dari situ boleh wujud rasa iri hati dan cemburu yang akhirnya mendorong perkara di luar jangkaan.
“Berhati-hati benda itu… Erma, awak kena belajar,” katanya dalam hantaran video di Instagram.
Dalam perkongsian sama, pelakon filem Dukun itu turut menegur perbuatan segelintir pihak yang terlalu terbuka bercerita soal kehidupan peribadi sehingga menimbulkan rasa kurang senang di mata orang sekeliling.
“Jangan kongsi semua kebahagiaan dan kemesraan dengan orang yang kita fikir baik dengan kita. Hakikatnya, ada yang menyimpan rasa tidak puas hati lalu mula mencetuskan kata-kata tidak indah,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Umie mengakui sedih dengan apa yang dipercayai menimpa kakaknya, namun tetap melihat dari sudut positif selain menasihati agar kesilapan sama tidak diulangi.
“Saya sedih mendengar perkara ini, tetapi tak mengapa. Rezeki Allah yang tentukan. Positiflah dan jangan ulangi kesilapan sama, sama ada membabitkan kebahagiaan, ekonomi, kekayaan mahupun kejayaan.
“Belajarlah untuk tidak berkongsi semua dengan orang yang kita rasa sahabat,” katanya penuh makna.