Kuala Lumpur: Bersempena sambutan Hari Ulangtahun ke-76 Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam, World Youth Foundation (WYF) dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM) akan menganjurkan program amal Konsert Gema Suara Emas pada 29 Ogos ini jam 8.00 malam di Dewan World Youth Foundation, Ayer Keroh, Melaka.

Pemangku Presiden PKAVM, Sandakiah Aziz berkata, selain meraikan hari ulang tahun Ali Rustam, ia juga membuka peluang kepada artis-artis veteran membuat persembahan sekali gus menjana pendapatan mereka.

“Ada di antara mereka masih mampu menyanyi dan bertenaga atas pentas, tetapi sudah lama tidak menerima tawaran berkarya kerana terpaksa bersaing dengan artis-artis muda yang punyai lebih ramai ‘followers’.

“PKAVM prihatin dengan nasib mereka dan membuka peluang tampil dalam konsert istimewa yang julungkali diadakan di Melaka ini.

“Dijangka ia akan menarik kehadiran peminat untuk menonton kerana lagu-lagu nyanyian mereka mampu menggamit nostalgia,” katanya.

Sandakiah berkata, barisan artis ‘bersuara emas’ yang akan menjayakan persembahan adalah Zalifah Ibrahim, Junainah M Amin, Roslan Madun, J Sham, Datuk Jefrydin, A Rahman Onn, S Mariam, Musly Ramlee dan Datuk Siti Fairus.

Turut beraksi ialah Seri Sarimah, Helen Velu, Hairee Kool, Mariam Ahmad, Zaiton Sameon, A. Razak, Chef Zainal, Mat Over, AR Badul dan Abon sebagai pengacara.

“Mereka akan diiringi oleh Kombo Briged Seni Melaka dan Band Warisan Legenda (The Sound of Sixties) di bawah pimpinan Abass Abu Bakar.

“PKAVM berhasrat untuk membawa konsep persembahan yang sama menjelajah ke seluruh Malaysia dan menyambut baik mana-mana pihak yang ingin bekerjasama,” katanya.

Sandakiah menyeru peminat agar menyokong penuh konsep berhibur sambil beramal ini.

“Peminat-peminat yang rindu dengan lagu-lagu era 60’an, 70’an dan 80’an, jangan terlepas peluang untuk saksikan penyanyi asal di hadapan mata anda,” katanya.

Maklumat mengenai tiket di orderlina.com/gemasuaraemas.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *