Putrajaya : “Asam pedas itu memang menu wajib. Setiap kali memasak, Tok Ram (suami, Datuk Ramli MS) tetap buat kajian jenis cili mana lebih sedap dan ikan yang paling sesuai,” kata penyanyi popular, Datin Alyah, 44.

Alyah berkata demikian ketika ditanya menu masakan kegemaran suaminya itu.

Alyah berkata, Tok Ram memang suka memasak dan sangat cerewet dengan bab masakan sejak dulu.

“Menu kegemarannya ialah asam pedas ikan dan dari awal kahwin sampailah sekarang, setiap minggu mesti ada menu ini di rumah.

“Dia memang sangat cerewet bab makanan kerana dia pandai memasak. Dalam masa sama, dia juga suka buat kajian menu yang dimasak itu,” katanya.

Alyah berkata, dia juga seolah-olah menjadi ‘ tikus makmal’ dalam eksperimen masakan Tok Ram yang tidak pernah berhenti mencuba pelbagai bahan dan teknik.

“Terus terang, saya tak jumpa lagi menu asam pedas yang sedap seperti Tok Ram buat. Bukan sebab dia suami saya tapi sebab hasil kajiannya memang luar biasa.

“Dengan semua kajian yang dia buat selama ini, boleh dikatakan saya sudah jadi macam ‘tikus makmal’ untuk mencuba semua eksperimen masakannya,” katanya.

Alyah dan Tok Ram berkahwin pada Mac 2013. Mereka juga mengambil seorang anak angkat iaitu Nur Izzara.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *