KUALA LUMPUR: Pertemuan diatur di sebuah pusat beli-belah di pinggir ibu kota, baru-baru ini, membongkar kisah menarik mengenai penyanyi berdarah Cina yang pernah menempa populariti dalam arena muzik Melayu pada era 1980-an.

Sosok yang tidak asing lagi, Datuk Elaine Kang, hadir dengan pesona yang masih utuh, lembut tutur katanya, manis senyuman dan penuh santun dalam bicara.

Sepotong nama itu pernah mengungguli carta lagu-lagu Melayu dan kekal sebagai antara bintang malar segar yang pernah mekar dalam ingatan pencinta muzik tanah air.

Elaine pernah mengungguli carta lagu-lagu Melayu dan kekal sebagai antara bintang malar segar yang pernah mekar dalam ingatan pencinta muzik tanah air. Foto NSTP Rohanis Shukri
Elaine pernah mengungguli carta lagu-lagu Melayu dan kekal sebagai antara bintang malar segar yang pernah mekar dalam ingatan pencinta muzik tanah air. Foto NSTP Rohanis Shukri

Pelawaan BH Online untuk menemu bualnya disambut penuh mesra. Malah, Elaine tidak lokek berkongsi kisah hidup yang sarat liku, penuh getir dan air mata. Kisah yang berjaya membentuk dirinya menjadi seorang wanita cekal.

“Saya dilahirkan dalam keluarga miskin di Pulau Pinang. Disebabkan terlalu susah, baju sekolah pun terpaksa jahit sendiri. Selepas ibu bapa berpisah, saya tinggal bersama ibu.

“Hidup serba kekurangan memaksa saya tinggalkan alam persekolahan ketika belajar di tingkatan dua,” ujarnya membuka bicara.

Demi membuka lembaran baharu dalam hidup, ibunya membawa anak-anak berhijrah ke Kuala Lumpur, meninggalkan segala yang dikenali di kampung halaman.

Ketika ibunya mendapat peluang bekerja di Singapura, Elaine diserahkan kepada jagaan ibu saudaranya. Dua abang dan kakaknya pula membawa haluan masing-masing.

“Apabila ibu pulang ke Kuala Lumpur, saya kembali tinggal bersamanya. Ketika itulah saya mula mencari peluang menyanyi di hotel.

“Saya masih ingat, demi kelihatan anggun, saya pinjam baju sepupu untuk dipakai. Tak sangka, saya berjaya menyanyi di situ,” ujar wanita yang menyambut ulang tahun ke-60, Khamis lalu.

Langkahnya dalam dunia seni tidak dirancang, namun, menurut Elaine, takdir seolah-olah membuka pintu rezeki tepat pada waktunya.

Cerita Elaine, ketika sedang membuat persembahan di sebuah kelab malam terkenal di Jalan Tuanku Abdul Rahman, dia menarik perhatian wakil syarikat rakaman Life Records secara tidak disangka-sangka.

“Malam itu, penyanyi tersohor, mendiang Teresa Teng membuat persembahan di situ. Saya ditugaskan memperkenalkannya kepada pengunjung.

“Rupanya, Teresa datang bersama wakil syarikat rakaman. Wakil terbabit kemudian menjemput saya untuk menghadiri uji bakat di King Studio, Petaling Jaya.

“Saya hanya sempat menyanyi separuh lagu sebelum diminta berhenti. Bukan kerana tidak layak, tetapi kerana mereka sudah yakin.

“Keesokan harinya, saya menandatangani kontrak,” kongsi Elaine sambil tersenyum mengimbau kenangan manis.

Album sulungnya dalam bahasa Cina membuka jalan, namun, nama Elaine lebih bersinar menerusi album Melayu bertajuk Jangan Engkau Cari.

Elaine kemudian menyertai ASP Records dan merakamkan tiga album lagi termasuk Di Luar Kerelaan pada 1988.

Namun, siapa sangka lagu yang tidak dirancang untuk menjadi taruhan utama iaitu, Maafkan Diriku, akhirnya ‘meletup’ dan menjadi kegilaan ramai.

“Label (syarikat rakaman) pada awalnya mahu promosikan lagu Di Luar Kerelaan. Tetapi tidak sangka Maafkan Diriku yang lebih mencuri tumpuan. Mungkin kerana melodinya yang melankolik serta lirik yang menyentuh hati dan lari daripada kebiasaan.

“Selalunya, lelaki dipersalahkan apabila berlaku pertelingkahan, tetapi dalam lagu ini, si wanita yang mengaku bersalah dan berharap cinta mereka kekal sampai bila-bila,” katanya.

Di sebalik kegemilangan dikecapi, tersimpan kisah duka yang diletak jauh di lubuk hati.

Lebih dua dekad lalu, Elaine kehilangan insan yang paling dekat di hati, iaitu kekasih yang terkorban dalam tragedi bot karam di Sungai Chao Phraya, Bangkok.

“Kami berkenalan ketika urusan jual beli rumah. Dia bekerja di sebuah agensi periklanan antarabangsa dan kerap berulang-alik antara Bangkok dan Kuala Lumpur.

“Kami sering berutus surat cinta. Tetapi, suatu hari, bot pelancong yang dinaikinya bersama rakan-rakan karam. Semua penumpang selamat, kecuali dia. Sejak hari itu, hati saya tertutup untuk terima sesiapa.

“Ramai lelaki cuba mendekati, tetapi saya tidak berminat. Jurang usia kami 20 tahun dan dia duda dua anak. Tetapi dia melayan saya seperti bayi, penuh kasih dan sangat menghargai saya.

“Hingga hari ini, surat-surat cinta kami masih saya simpan rapi dalam peti,” ungkap Elaine tenang.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *