Hampir sembilan tahun bergiat aktif dalam muzik dan nyanyian sejak 2017, kumpulan Floor 88 kini semakin mengukuhkan jenama mereka dengan lagu-lagu ‘catchy’ serta ‘easy listening’.

Band yang kini muncul dengan lagu berjudul F hasil ciptaan komposer, Zai Hamzah, manakala lirik ditulis oleh gabungan duo, Achoi Floor 88 dan Hemo.

Ditanya mengenai ‘kekuatan’ lagu Floor 88 yang mudah diminati dan menjadi siulan ramai, Achoi berkata, dia sangat menitikberatkan penulisan lirik berbanding melodi.

“Bila kita (Floor 88) nak masuk pasaran ‘mainstream’, kita tidak boleh terlalu macam mencuba sebab lagu Floor 88 ini lebih kepada kita nak ada moral dan ‘easy listening’.

“Jadi, sebenarnya benda itu yang mencabar. Berkaitan melodi atau perkara lain, tidak sangat. Nak ‘easy listening’, maksudnya ‘proof’ dalam sesuatu lagu dan itulah yang agak susah sedikit,” jelasnya.

Achoi atau nama sebenarnya Zai Hamzah berkata, dalam penciptaan lagu juga ia tidak boleh dibuat-buat tetapi inspirasi itu biasanya datang sendiri.

Vokalis Floor 88, Ayie Elham pula, berkata, jika nak terus mengekalkan karya lagu yang mantap itu memang kena ‘pecah otak’ memandangkan lagu Hutang sebelum ini sudah mencatat ‘benchmark’ agak tinggi.

“Bahkan, untuk kita terus kekalkan penanda aras (benchmark) untuk lagu itu boleh sampai bergaduh sesama anggota Floor 88 sebab nak buat keputusan keluar lagu macam mana?

“Apatah lagi, tekanan itu memang ada sebab kita (Floor 88) tidak sampai ke satu tahap yang mana kita buat apa sahaja (lagu), semua orang boleh terima,” katanya.

Selain Achoi sebagai pemain gitar dan Ayie, kumpulan Floor 88 turut dianggotai Falique selaku pemain basis, Eric Fuzi (keyboard), Muhammad Akram (pemain dram) dan Amir (gitar kedua).

Achoi juga memaklumkan apabila dia menghasilkan lagu untuk Floor 88 memang dipastikannya dengan teliti serta terperinci pada semua bahagian lagu agar kualiti terbaik.

“Jadi, sekiranya saya buat satu-satu lagu untuk Floor 88 dan sama ada akan rakam atau tidak, selalu saya akan sasarkan kepada anak-anak kecil.

“Macam anak saya sendiri. Kalau saya nyanyi, dia (anak) hafal tak melodi itu. Jika dia hafal, okay cantik. Jadi, dari situ saya akan ‘proceed’ lagu berkenaan,” katanya.

Ujarnya, mendapatkan perhatian daripada kanak-kanak untuk terima lagu dihasilkan tidak mudah sebab mereka ini tulus dan tidak menipu dalam beri ‘feedback’ mengenai perasaan.

“Kalau suka, mereka (kanak-kanak) akan kata suka. Tak ada nak simpan-simpan untuk jaga hati. Jadi maklum balas diberikan itu memang ikhlas dan berterus-terang,” katanya.

Selain Hutang dan F, kumpulan Floor 88 pernah popular dengan lagu seperti Zalikha, Aqilah, Roadblock Hatiku, Yang Benar, Chikadun, 24434, Ku Ingin, Sahabat dan banyak lagi.

LIRIK diakui sangat penting dalam lagu-lagu Floor 88 yang dicipta oleh Achoi. FOTO Hazreen Mohamed
LIRIK diakui sangat penting dalam lagu-lagu Floor 88 yang dicipta oleh Achoi. FOTO Hazreen Mohamed

Konsep filem Man Laksa

Bukan hanya lagu perlu sedap didengar, namun penghasilan muzik video (MV) juga wajar diambil kira konsep penceritaannya agar sesuai dengan mesej sesuatu lagu berkenaan.

Justeru, bagi MV lagu F ini, Eric Fuzi sebagai pengarah melakukan pendekatan konsep filem komedi, Man Laksa arahan Allahyarham Mamat Khalid pada 2006.

Katanya, dia juga terlebih dahulu berbincang dan meminta kebenaran daripada anak Mamat iaitu Amin Khalid yang turut muncul sebagai ‘cameo’ dalam MV lagu F itu.

“Apapun, lagu F ini ditulis memang berdasarkan inspirasi komposer. Cuma, bila lagu itu bercerita mengenai orang yang bertutur guna huruf F, pening juga saya nak cari konsep untuk muzik video

“Hinggakan kita (Floor 88) juga sebenarnya sudah dua kali tangguh nak buat muzik video untuk pelancaran lagu F ini yang sudah siap ditulis pada awal tahun lalu.

“Cuma selepas buat beberapa ‘research’, saya tengok dan bayangkan menerusi rujukan pada muzik video lagu Floor 88 sebelum ini yang menginspirasikan filem Melayu,” ujarnya.

Eric berkata, sebagaimana MV lagu Hutang pun, dia memang cenderung menginspirasikan daripada filem Laksamana Do Re Mi arahan seniman agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee pada 1972.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *