Kuala Lumpur : “Alamak, saya dapat ‘cucu’ lagi tapi kakinya terlebih dan ‘special (istimewa)’,” kata penyanyi legenda, Datuk Jamal Abdillah, 66.

Jamal berkongsi video mengenai kelahiran ‘cucu’ terbarunya yang juga anak lembu jantan istimewa yang mempunyai lima kaki itu secara ‘broadcast’ dalam satu kumpulan WhatsApp.

Jamal berkata, anak lembu unik itu dari jenis lembu penternakan secara integrasi yang dipeliharanya di kandang.

“Ini anak lembu yang ketujuh atau kelapan dari lembu integrasi.

“Tapi yang peliknya anak lembu jantan ini kakinya terlebih pulak iaitu mempunyai lima kaki.

“Anak lembu istimewa ini unik dan saya tak akan jual dan merancang untuk terus memeliharanya,” katanya.

Mengenai bisnes lembu yang diusahakan lagi, kata Jamal, dia juga bersyukur kerana ladang lembu miliknya di Bukit Merah, Perak juga semakin berkembang.

“Sebenarnya, saya seronok bela lembu dan ia juga sekadar hobi sahaja.

“Saya sudah bela lembu integrasi sebanyak 25 ekor ini lebih kurang setahun lima bulan.

“Pertubuhan Peladang Kawasan yang beri lembu-lembu ini untuk dibiak dan bila sampai masanya dalam tempoh lima tahun baru boleh dijual.

“Saya juga ambil banyak lembu betina supaya senang berkembang. Alhamdulillah, ini sudah tahun kedua dan bisnes lembu ini juga menjadi,” katanya.

Sebelum ini, Jamal dilaporkan mula berjinak-jinak dalam bidang ternakan lembu secara komersial sejak Mei 2023 dengan mengusahakan ladang ternakan lembunya seluas hampir dua hektar terletak di Bukit Merah.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *