Detik yang sekian lama dinanti peminat muzik grunge akhirnya tiba apabila Nirvana Tribute Experience Tour Live In Malaysia, bakal menggegar pentas Jiospace, Petaling Jaya, pada 20 Julai ini.

Menampilkan kumpulan muzik ‘tribute’ digelar Nirvanna – Tribute to Nirvana, band berasal dari Amerika Syarikat (AS) ini bakal menghidupkan semula tenaga dan muzik kumpulan Nirvana, sekali gus membawa imaginasi peminat meliar kepada era kegemilangan mendiang penyanyinya, Kurt Cobain pada 1990-an.

Selain Cobain yang meninggal dunia pada 1994, Nirvana ketika itu turut dianggotai Dave Grohl (dram), Krist Novoselic (bass) dan Pat Smear (gitar).

Nirvanna – Tribute to Nirvana dianggap band rasmi jelmaan Nirvana paling autentik di AS, yang mengelilingi dunia dalam siri konsert mengenang band grunge legenda itu.

Lebih daripada konsert biasa, persembahan dibawakan Mediaberg Productions ini menjanjikan pengalaman penuh emosi dan bertenaga, sebagai penghormatan tulus terhadap legasi legenda grunge, Cobain.

Pada malam itu, peminat bakal dibawa mengimbas semula detik magis era 1990-an melalui dendangan lebih 35 lagu ikonik termasuk dari album Bleach, Nevermind hingga In Utero, selain segmen istimewa MTV Unplugged in New York yang menyentuh jiwa.

Konsert ini juga menjadi ruang buat peminat generasi lama dan baharu berkumpul untuk menghayati semula detik magis muzik yang pernah mendefinisikan satu generasi melalui band Nirvana.

NIRVANA pencetus fenomena muzik grunge pada era awal 1990-an.
NIRVANA pencetus fenomena muzik grunge pada era awal 1990-an.

Gabungan bunyi, aura dan semangat Nirvana bakal dihidupkan semula secara langsung, memberi peluang kepada peminat tempatan untuk merasai sendiri kehangatan persembahan yang menyamai pengalaman sebenar melihat band berasal dari Seattle, AS itu beraksi depan mata.

Berpegang pada slogan ‘For the Fans, From the Fans’, Mediaberg terus komited memberi pengalaman muzik luar biasa kepada peminat tempatan.

Tiket mula dijual sejak 2 Mei lalu menerusi laman web rasmi www.mediaberg.com dan individu yang mendaftar lebih awal akan menerima pautan eksklusif pembelian awal menerusi e-mel.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *