Kuala Lumpur: Penyanyi dan pelakon, Fimie Don, 27, mendedahkan sanggup mengeluarkan modal yang tinggi untuk menghasilkan album sendiri yang dikeluarkan baru-baru ini.
Fimie berkata, wang untuk menghasilkan album ini dikumpul sedikit demi sedikit menerusi kerja lakonan.
“Saya tak ada duit sebenarnya. Banyak juga yang habis. Sebenarnya macam ini, kalau katakan sebab kita ‘independent’, kita boleh buat dengan kawan-kawan, mereka boleh bagi harga kawan-kawan.
“Satu lagu mungkin boleh dapat harga RM3,000 hingga RM4,000. Jadi darabkan dengan lapan lagu. Darab dengan nak bayar ‘sessionist’ lagi seorang RM300 satu lagu.
“Ada empat orang ‘sessionist’. Jadi totalkanlah jumlah empat orang darab RM300 dan kemudian darabkan kepada lapan lagu,” katanya.
Pelakon filem Magika ini berkata, kos terbabit belum termasuk cetakan album serta lain-lain dan jumlahnya tidak lari dari RM50,000.
“Kalau ditanya dari segi pulangan. Untuk masa sekarang, saya nampak pulangan ini bukan dari segi duit. Pulangan ini adalah dari segi pendedahan sahaja.
“Tapi itulah dia harga yang saya keluarkan. Dalam industri muzik, apa yang saya nampak, lagi banyak kita melabur, kita bukan dapat balik duit itu. Tapi kita melabur untuk kekal relevan atau tak.
“Itu pandangan saya, kalau orang lain, lainlah pandangannya. Orang dengar ke tidak, berapa ramai tahu, aspek pemasaran dan sebagainya,” katanya.
Menurutnya, pelaburan itu adalah bertujuan untuk memberitahu orang berkenaan pembabitannya dalam nyanyian.
“Sebab kamu tak akan boleh buat duit kalau tak ada pendedahan penuh jika berada dalam industri muzik. Tak akan. Mana ada artis yang tak ada pendedahan langsung tapi buat duit?
“Jadi pelaburan RM50,000 itu hanya untuk pendedahan sahaja sebenarnya. Untuk balik modal itu memang tak ada, tapi untuk pendedahan itu ada.
“Alhamdulillah… yang penting saya tak meminjam dengan mana-mana pihak. Saya tak naklah saya muflis ke apa. Saya masih ada ruang untuk bernafas.
“RM50,000 itu nampak macam besar. Tapi kalau saya pecahkan dalam masa dua tahun sikit saja jumlahnya. Saya sanggup keluarkan RM50,000 tapi ‘enjoy’ dengan hasilnya,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Fimie bersama kumpulannya Fimie Don Dan Satwo akan terbabit dalam Konsert Muzik Kita! yang akan berlangsung di MAEPS Serdang Hall A pada 2 Ogos depan.
Turut terbabit ialah Butterfingers, Monoloque, Ki Misri, Fugo, Perry, Heidi Moru, Nadarasa, Dukes, Mardiana, Salammuzik serta artis Indonesia, Nosstress.