Kuala Lumpur: Penyanyi, Nadeera Zaini tidak menaikkan kadar bayaran persembahannya secara mendadak walaupun namanya kini semakin meningkat naik dalam industri muzik tanah air.

Nadeera berkata, dia lebih selesa dengan pendekatan realistik terhadap nilai dan kemampuan diri, biarpun sudah meraih pelbagai pencapaian membanggakan.

“Memang ada sedikit kenaikan, tetapi tidaklah terlalu tinggi. Saya sendiri sedar yang kita perlu menilai kemampuan diri dan jangan terlalu terburu-buru.

“Semua itu saya ambil kira sebelum meletakkan sebarang kadar bayaran,” katanya.

Ditanya sama ada segala usaha dan penat lelahnya dalam industri seni setakat ini sudah berbaloi dengan kadar bayaran yang diterima, Nadeera berkata, dia masih dalam proses memperkaya diri dengan ilmu dan pengalaman.

“Banyak lagi yang saya nak pelajari. Masih terlalu banyak perkara dalam industri ini yang saya belum tahu.

“Saya juga nak cuba sumbangkan sesuatu yang lebih segar kepada peminat, bukan sekadar menyanyi saja,” katanya.

Penyanyi berusia 32 tahun itu turut menyatakan hasrat untuk mengembangkan bakat dalam bidang penciptaan lagu selepas ini.

“Mungkin selepas ini saya akan cuba hasilkan lagu sendiri, selain terus belajar memahami aspek-aspek lain dalam bidang muzik.

“Bila sampai masa yang sesuai, barulah saya rasa saya boleh letakkan permintaan yang lebih tinggi,” katanya.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *