Kuala Lumpur: Jualan tiket ‘battle kedua’ (sesi kedua) Konsert Kasih Kekasih Inteam 25 Tahun yang akan berlangsung di Idea Live Arena, Petaling Jaya pada 27 September depan ‘sold out’ dalam tempoh kira-kira sejam, hari ini.

Anggota kumpulan Inteam, Abdul Rahim Osman berkata, pihaknya bersyukur dengan sambutan luar biasa daripada peminat nasyid pada konsert berkenaan.

“Alhamdulillah, pihak kami ucapkan berbanyak terima kasih kepada peminat yang berjaya membeli tiket konsert Inteam untuk sesi kedua yang mula dijual hari ini. Kami juga mohon maaf kepada yang tidak berjaya dapatkan tiket konsert.

“Sebenarnya, kami pun tak jangka penerimaan peminat sebegitu hangat kerana jualan tiket sesi kedua ini lebih cepat habis daripada sesi pertama.

“Ia menjadi petunjuk irama nasyid semakin diingati semula dan semua orang mahu imbau semula kenangan bersama lagu-lagu popular Inteam,” katanya kepada Harian Metro.

Selain Abdul Rahim, kumpulan Inteam menampilkan tiga lagi anggota iaitu Muhammad Hazamin Harun, Mohd Syahril Abdul Khalid dan Hisyam Ahmad.

Mengenai pemilihan lokasi baharu pula, kata Abdul Rahim, ia dipilih untuk memastikan keselesaan kepada peminat Inteam yang menyaksikan konsert itu nanti.

“Lokasi baharu itu dipilih kerana ia boleh memuatkan seramai 5,000 penonton dalam satu masa.

“Tapi untuk konsert ini, kami hadkan kepada lebih 4,000 orang sahaja kerana kita memikirkan keselesaan penonton nanti.

“Pihak kami mahu penonton dapat pengalaman yang baik dan selesa ketika menyaksikan konsert Inteam nanti,” katanya.

Ditanya persediaan konsert pula, kata Abdul Rahim, latihan intensif akan dibuat menjelang konsert pada September nanti.

“Sebenarnya, kami masih lagi terkejut dengan penerimaan luar biasa peminat pada konsert ini.

“Pada masa sama, agenda seni Inteam, semakin padat dengan dua hingga tiga persembahan di serata tanah air pada setiap minggu. Kami juga akan ke Algeria, bulan ini,” katanya.

Terdahulu, Konsert Kasih Kekasih 25 Tahun Inteam dibuka jualan tiket untuk ‘battle kedua’ menerusi Ticket Empire dan laman rasmi di www.kasihkekasih.com selepas jualan ‘battle pertama’ habis dijual pada 22 Mei lalu.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *