Kuala Lumpur : Penyanyi dan pencipta lagu berbakat besar, Zynakal mengakui pernah melalui fasa kelam dalam hidup dan kerjayanya apabila dia terlalu leka dengan kejayaan yang diraih pada usia muda.

Namun, hari ini dia bangkit dengan kesedaran baharu untuk memperbaiki diri dan terus melangkah dengan lebih berhati-hati.

Zynakal tidak menafikan bahawa kemasyhuran yang datang terlalu pantas menyebabkan dia tidak sempat membina asas yang kukuh.

Akibatnya, dia mudah terpengaruh dan membuat keputusan tanpa berfikir panjang.

“Bila kita berada di atas dan tiada siapa yang berani tegur, kita mudah hanyut. Saya pun pernah buat silap. Namun, saya bersyukur sebab saya masih sempat untuk sedar dan kembali semula ke pangkal jalan,” katanya.

Menurutnya, selepas melalui pelbagai cabaran, dia kini lebih memilih dalam memilih kawan dan persekitaran.

Baginya, membina ‘circle’ yang positif adalah langkah pertama untuk memastikan kesihatan mental dan emosi sentiasa terjaga.

“Dulu saya fikir semua orang kawan, tapi sekarang saya sedar tak semua orang patut kita benarkan dekat dengan hidup kita. Saya jaga siapa saya bergaul, dan lebih banyak masa saya luangkan untuk fokus pada kerja,” katanya.

Zynakal berkata, tempoh ‘berehat’ daripada dunia hiburan sebelum ini memberikan ruang untuk dia menilai kembali erti kejayaan dan apa yang sebenarnya penting dalam hidup.

Kini, dia lebih tenang dan jelas dengan haluan seni yang ingin dibawanya.

“Saya dah tak kejar populariti semata-mata. Saya nak karya saya bercakap untuk saya. Bila orang dengar lagu, mereka faham siapa Zynakal sebenarnya,” katanya.

Beliau turut menekankan pentingnya introspeksi dalam membentuk semula jati diri sebagai seorang seniman.

Katanya, karya-karya barunya kini lebih jujur dan datang dari pengalaman sebenar yang dilalui sendiri.

“Bila kita hasilkan karya dari hati, orang akan rasa. Saya percaya kejujuran itu yang buat muzik kita tahan lama,” katanya.

Zynakal turut berharap agar perubahan yang dilaluinya menjadi inspirasi kepada anak muda lain yang mungkin sedang bergelut dengan tekanan atau identiti diri.

Baginya, setiap orang berhak mendapat peluang kedua.

“Saya pernah silap, tapi saya belajar. Dan saya nak gunakan pengalaman itu untuk jadi manusia dan seniman yang lebih baik,” katanya.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *