Shah Alam: Penyanyi baharu yang tular dengan lagu Basstamam, Syed Iqbal, 24, mengakui dirinya pernah mendirikan rumah tangga dengan wanita pilihan keluarganya pada 2022.
Namun, perkahwinan itu hanya bertahan setahun, sebelum mereka bercerai pada 2023.
“Itu adalah kehidupan yang pernah saya jalani. Ya, saya pernah berkahwin dan jodoh tak lama. Saya berkahwin pada 2022 ketika bekerja di Pulau Pinang dan ia aturan keluarga.
“Ketika itu, saya baru berusia 21 tahun dan kami berpisah pada 2023. Sekarang, kami sudah tidak berhubung, tapi masih berjumpa.
Kadang-kadang ada acara keluarga, saya juga terserempak dengan keluarga bekas isteri, hubungan kami masih baik,” katanya ketika ditemui pada sesi sidang media lagu solo sulungnya Basstamam di sebuah restoran, di sini.
Adik kepada pendakwah selebriti Da’i Syed turut menyifatkan perkahwinan itu sebagai ketentuan Ilahi dan menjadi sebahagian daripada rukun iman yang perlu diterima, malah tidak menolak untuk kembali berumah tangga pada masa akan datang.
“Saya tidak menyesal sebab itu adalah takdir yang perlu diterima dan salah satu rukun iman. Kalau tak terima apa yang dijalani, jadi kena tanya diri kita.
“Insya-Allah, kalau sampai waktunya, saya akan kembali berumah tangga dan tiada lelaki yang tak nak berkahwin,” katanya.
Dalam pada itu, Syed Iqbal yang juga pendakwah bebas, tidak menafikan atau mengiyakan apabila dirinya terkait dengan isu sedang mengenali hati budi seorang pempengaruh terkenal.
“Saya hanya ikut apa yang Allah aturkan. Namun, buat masa ini, apa yang saya boleh katakan, saya masih ‘single but not available’,” katanya.
Dalam pada itu, Syed Iqbal sudah menandatangani kontrak secara rasmi di bawah label berteras keislaman, Masyhur milik Universal Music Malaysia dan tampil dengan lagu sulung, Basstamam ciptaan Amir Hufaz dan Wan Saleh, dengan lirik nukilan Abdulkarim Al Ali dan Wan Saleh.
Video muzik lagu itu kini mencecah lebih 230,000 tontonan selepas 10 hari dimuat naik di platform YouTube.