Kuala Lumpur: Gelombang kebangkitan kumpulan nasyid popular, Inteam, kini menyentuh generasi baharu menerusi projek Inteam core yang mencetuskan fenomena luar biasa di platform media sosial seperti TikTok dan Instagram.
Menurut salah seorang ahli kumpulan Inteam, Muhammad Hazamin Harun, usaha Inteam untuk mendekati golongan muda bukanlah sesuatu yang baharu, malah bermula sejak lebih 10 tahun lalu melalui pelbagai kolaborasi bersama artis muda tanah air seperti Khai Bahar, Sam Bunkface dan Sufian Suhaimi.
“Kami sedar bahawa ramai remaja hari ini tidak kenal siapa kami, tetapi mereka tahu dan hafal lagu-lagu kami seperti ‘Setanggi Syurga’. Bila kami adakan jelajah sekolah, mereka boleh nyanyi lagu itu, tapi tak tahu siapa yang menyanyikannya,” katanya.
Fenomena terkini menyaksikan pelbagai kandungan kreatif seperti “ootd, persiapan ke konsert Inteam”, penggunaan ‘lightstick’ serta tasbih ‘glow in the dark’, selain trend ‘behave’ yang tular di TikTok menjadi pemangkin kepada keterlibatan generasi muda dengan jenama Inteam core.
Tambah menarik, kejayaan viral lagu “Papa Ayie”, konten “angkat bahu” serta trend “kereta Avanza hijau” membuktikan sambutan hangat yang diterima.
Lebih istimewa, sempena ulang tahun ke-25 penubuhan mereka, Inteam bakal mengadakan Konsert Kasih Kekasih 25 Tahun Inteam pada 28 September depan di lokasi baharu yang lebih besar dan luas, iaitu Idea Live Arena, Petaling Jaya.
Konsert ini dijangka menghimpunkan peminat lama dan baharu dalam sebuah persembahan penuh nostalgia dan semangat baharu.
“Kami sangat teruja kerana ini bukan sekadar konsert, tetapi satu penghargaan buat semua peminat yang setia bersama kami selama ini. Kali ini, kita mahu raikan bersama generasi muda yang mula mengenali kami melalui media sosial,” katanya.
Beliau turut meluahkan rasa syukur kerana pendekatan santai dan semula jadi mereka berjaya menambat hati golongan muda yang sebelum ini lebih cenderung kepada muzik arus perdana seperti K-pop.
“Kami mahu mereka tahu bahawa nasyid dari Malaysia juga setanding, malah dikagumi penonton antarabangsa,” katanya.
Kemunculan semula Inteam melalui pendekatan digital dan kandungan interaktif bukan sahaja memperluas khalayak peminat mereka, malah membina jalinan lebih erat antara seni warisan tempatan dengan arus moden yang digemari anak muda hari ini.