Putrajaya: Sekuel kedua filem animasi popular Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) yang akan menemui penonton di pawagam Khamis ini menyasarkan kutipan pecah panggung sebanyak RM60 juta susulan kejayaan luar biasa filem pertama yang meraih kutipan RM30 juta pada 2019.
Pengarah EATM2 yang juga Ketua Pegawai Eksekutif WAU Animation, Usamah Zaid Yasin, menyifatkan potensi jenama Ejen Ali sangat luas berdasarkan dunia dan karakter yang berjaya dibina sejak filem pertama.
“Secara peribadi saya rasa dunia dan watak-watak Ejen Ali mempunyai potensi besar. Namun, kalau tanya soal keyakinan, saya bukanlah orang yang terlalu yakin.
“Tapi saya tetap berharap penonton akan menyukai naskhah ini dan membantu mengangkat filem ini lebih jauh,” katanya pada malam gala dan tayangan perdana EATM2 di IOI City Mall, di sini, semalam.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Nini Yusof serta Ketua Peneroka Komet Productions, Datuk Ahmad Izham Omar.
Meneruskan legasi ejen perisikan remaja yang menjadi kegemaran ramai, EATM2 tampil dengan peningkatan ketara dari aspek visual, teknikal serta penceritaan. Dengan pembaharuan tersebut, naskhah terbitan WAU Animation dengan kerjasama Primeworks Studios dan Komet Productions ini diyakini berpotensi bukan sahaja menguasai pawagam tempatan, malah menembusi pasaran global.
Dalam masa sama, Usamah mengakui menghasilkan sekuel bukan tugas mudah kerana tekanan tinggi daripada jangkaan penonton yang menginginkan sesuatu lebih baik daripada filem terdahulu.
“Cabaran menghasilkan sekuel ini besar. Kelebihannya, jenama Ejen Ali sudah dikenali, malah ada pengikut dan pengiktirafan. Tapi bila sudah ada kejayaan terdahulu, jangkaan terhadap filem kedua jadi sangat tinggi. Jika gagal penuhi, kepercayaan boleh hilang dengan cepat.
“Sebab itu kami harap filem kali ini mampu menyentuh hati penonton dan mereka akan meraikan usaha kami dengan memberikan maklum balas yang baik,” katanya.
Mengimbas semula perjalanan pembikinan filem ini, Usamah berkata proses perancangan EATM2 sudah bermula sebaik tamat tayangan filem pertama. Namun pandemik Covid-19 yang melanda dunia sekitar 2020 memberi kesan besar terhadap jadual produksi.
“Saya sudah keluarkan teaser dan draf awal sekuel sekitar 2020. Tapi bila pandemik melanda dan pawagam ditutup, kami terpaksa tukar perancangan dan hasilkan siri Ejen Ali Musim 3 terlebih dahulu bersama Disney+ Hotstar.
“Skrip asal filem kedua sepatutnya teruskan naratif daripada filem pertama, tapi kami ambil ‘simpang’ lain sekejap. Siri musim ketiga ini menjadi jambatan sebelum munculnya filem kedua,” katanya.
Usamah turut berkongsi pengalaman getir dalam proses pembangunan skrip dan naratif EATM2 yang disifatkan cukup mencabar meskipun sudah mempunyai pengalaman menulis musim sebelumnya.
“Dari musim pertama saya anggap ia sebagai pengalaman baharu dalam penulisan skrip. Bila masuk musim kedua, mula timbul persoalan sama ada momentum boleh diteruskan.
“Waktu mula tulis untuk filem, kami semua ‘terduduk’ sebab baru tahu betapa sukarnya nak hasilkan skrip dan struktur cerita yang kuat untuk layar perak. Tapi akhirnya kami bangga dengan hasilnya,” katanya.
Sejak kemunculan pertamanya pada 2016, Ejen Ali berjaya mencetuskan fenomena tersendiri menerusi tiga musim siri animasi serta kemunculan filem pertamanya pada 2019, sebelum disusuli sekuel terbaharu yang ditayangkan tahun ini.
Kisah Ejen Ali mengangkat watak seorang pelajar bernama Ali yang tanpa sengaja terjerumus ke dalam dunia perisikan, sebelum dilantik menjadi ejen muda bagi organisasi rahsia dikenali sebagai MATA. Sejak itu, Ali memikul tanggungjawab besar dalam melindungi Cyberaya – sebuah bandar futuristik yang sarat dengan misteri dan ancaman.