Zepp Kuala Lumpur (KL) yang sebelum ini cukup popular dan sinonim dengan penganjuran konsert hiburan membabitkan artis tempatan dan antarabangsa mula menjadi pilihan pentas pertarungan sukan tempur.
Ia berikutan penganjuran kejohanan sukan tempur Fury Championship di venue yang terletak di tengah ibu kota, baru-baru ini.
Di samping lokasi strategik dan dilengkapi pelbagai kemudahan pemilihan Zepp KL dilihat sebagai lembaran baharu dalam membangunkan sukan tempur tanah air ke peringkat lebih tinggi.
Bukan sahaja membabitkan atlet tempur tempatan dan antarabangsa, malah penganjuran Fury Championship turut membabitkan artis popular tempatan yang membabitkan pertarungan tinju antara Hun Haqeem dan sahabatnya Ikmal Amry.
Hun yang juga bintang filem Soloz: Game of Life akur apabila tewas kepada Ikmal ketika rebah saat mengalami kecederaan serius pada lutut dan muka yang turut berdarah di pusingan pertama.
Menurutnya, ia pengalaman cukup bermakna buatnya disamping dapat memeriahkan acara itu.
Mengenai insiden menimpanya itu lagi, Hun memberitahu ia berlaku apabila lututnya ‘meletup’ ketika bertarung, memaksanya tidak dapat meneruskan aksi.
“Saya mohon maaf gagal meraih kemenangan. Saya sudah berikan segala-galanya. Insya Allah, saya akan bangkit lebih kuat dan rancang untuk ‘rematch’ semula,” katanya.

Sebaik tamat pertarungan, Hun kelihatan dipapah keluar menuju ke bilik persalinan.
Sementara itu, Ikmal mengakui berasa serba salah untuk bertarung dengan rakan baiknya sendiri.
“Sejujurnya saya berat hati nak lawan dengan Hun. Saya lebih rela kalau lawan saya bukan rakan selebriti. Lebih mudah untuk saya ‘all out’.
“Saya tahu tentang kecederaan yang dialami Hun sebelum ini, tapi itu sudah lama,” katanya.
Tambah Ikmal, dia cuba mengekalkan fokus atas nasihat jurulatih namun mengakui emosi turut bercampur baur sepanjang perlawanan.
“Tetapi itulah adat pertandingan dalam gelanggang. Saya harap Hun cepat sembuh dan kembali lebih kuat,” katanya.
Ditanya kemungkinan akan kembali bertarung dengan Hun, Ikmal memberi jawapan terbuka namun sedikit keberatan.

Fury Championship bakal kembali untuk siri kedua
Berikutan sambutan positif yang diterima, penganjur Fury Championship mempertimbangkan menganjurkan acara sama pada masa depan.
Program diketuai Wafiy A’an selaku Ketua Pegawai Operasi (CEO) dan Jaa Suzuran sebagai Ketua Pegawai Pemasaran (CMO), edisi seterusnya dijangka tampil dengan penambahbaikan dari segi penyertaan, produksi dan promosi.
Menurut Jaa, penganjuran ini memberi peluang kepada atlet tempatan bersaing di pentas lebih kompetitif serta membuka ruang kepada mereka untuk membina jenama tersendiri.
“Kita nak angkat juga ‘fighter’ di Malaysia ke tahap lebih tinggi. Kadang-kadang, kita tahu ada atlet yang hanya bergantung kepada bayaran daripada pertarungan sahaja. Dengan adanya Fury Championship, mereka rasa lebih bersemangat dan ada pentas tetap untuk beraksi,” katanya.
Tambah Jaa lagi, matlamat utama mereka menjadikan Fury Championship setanding dengan organisasi sukan tempur antarabangsa seperti One Championship.

Dalam masa sama, Wafiy menegaskan kejohanan ini bukan sahaja memberi fokus kepada aspek pertarungan, malah menitikberatkan nilai komersial dan pendedahan media untuk atlet.
“Kami mahu lebih ramai atlet tempatan dikenali ramai dan bukan sekadar jaguh dalam gelanggang. Penganjuran ini bertujuan mengangkat mereka agar lebih mudah dipasarkan dan mempunyai nilai komersial,” katanya.