Kuala Lumpur: Penyanyi Baggio menjelaskan situasi sebenar berkenaan penggunaan nama kumpulan Damasutra yang pernah dianggotainya sebelum ini.

Baggio atau nama sebenarnya Bahagia Daharun, 54, berkata, dia sudah lama meninggalkan kumpulan terbabit dan kini selesa bergerak sebagai penyanyi solo.

“Saya sudah tidak bersama Damasutra selepas album terakhir mereka berjudul Penawar pada tahun 1996.

“Selepas itu, saya bergerak solo dengan EMI Music dan tampil dengan satu album kompilasi di bawah label mereka secara rasmi.

“Saya berdiri atas nama Baggio sahaja, tidak lagi Damasutra dan aktif sehingga kini dengan pelbagai karya yang Saya hasilkan, atas jenama Baggio,” katanya.

Menurutnya, dia terbabit dengan pelbagai album antaranya Tangkap Nangis 3 (1998), Inginku Milikmu By Baggio (2000), Best Of Awang BPR (2003) dan Umpama Mimpi Dalam Mimpi Versi Solo Baggio.

Selain itu dia turut tampil menerusi album Trilogy Baggio, Sham Visa dan Ejam Medicine, Aku Dan Kenangan, Album Penangan Rock, Baggio, Nizam Laksamana, Alim Kris dan Nai Dinamik (2006) serta beberapa single seperti Hujan Pelangi (2014), Taman syurga (2017), Laduni Cinta (2020) dan Kau Ibu (2023).

Terdahulu, Damasutra yang diasaskan oleh Amran (bekas anggota Fotograf) tampil dengan album pertama pada tahun 1991 dan meniti populariti dengan lagu Antara Sutra & Bulan, Umpama Mimpi Dalam Mimpi dan banyak lagi.

Baggio dan Damasutra pernah bergabung mengadakan showcase sempena ulang tahun ke-33 penubuhan mereka pada 27 Oktober 2023 di Zepp Kuala Lumpur.

Damasutra yang kini berwajah baru dengan penyanyi baru, tampil mengadakan persembahan di Showcase Hari Raya di Warisan Hall Studio, Sijangkang pada 13 April lalu.

“Damasutra berhak untuk bergerak tanpa saya kerana saya sudah bergerak solo dengan pelbagai karya atas nama Baggio.

“Saya mendoakan yang terbaik untuk rakan-rakan saya bagi meneruskan kerjaya seni masing-masing bagi mengorak langkah ke depan.

“Bakat yang ada pada saya pun bersifat sementara dan pinjaman sementara daripada Allah SWT, tiada yang kekal.

“Selagi dipinjamkan saya lebih percaya untuk terus berkarya dan berkarya. Doakan yang baik-baik untuk semua,” katanya.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *