Kuala Lumpur: Pelakon senior, Edika Yusof, 58, menyifatkan tiada siapa menang dan kalah dalam kes perceraian yang terjadi antara suami isteri kerana ia bukan satu pertandingan untuk dibanggakan.
Menurut Edika, perceraian akan berlaku apabila pasangan suami dan isteri itu sudah tiada persefahaman untuk terus hidup bersama.
“Perceraian saya dan isteri yang akan berlaku pada 5 Mei ini mungkin untuk kebaikan kedua belah pihak. Saya setuju untuk ceraikan isteri supaya dia dapat apa yang dimahukannya.
“Bila anda sayangkan seseorang, kemudian melepaskan dia, itu tidak bermakna anda tewas. Dalam perceraian, tiada siapa menang dan kalah sebab ini bukan pertandingan,” katanya kepada Harian Metro.
Pada 23 April lalu, Edika ditemui di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi sebutan kedua kes perceraian antaranya dan isteri, Nor Hidayah Yusri, 47, yang difailkan wanita itu pada Februari lalu.
Bagaimanapun, Edika tidak dapat melafazkan cerai terhadap Nor Hidayah pada tarikh itu (23 April) kerana isterinya berada dalam keadaan tidak suci dan tarikh baru ditetapkan mahkamah pada 5 Mei ini.
Pelakon filem Maria Mariana ini memaklumkan, dia turut melihat urusan perceraian berkenaan sebagai bentuk pengadilan kepada pasangan selepas mahkamah pun sudah memberi nasihat untuk kebaikan bersama.
“Pada saya, ia (perceraian) juga satu kebaikan kepada pasangan apabila gagal untuk selamatkan perkahwinan mereka. Walaupun tiada siapa yang ingin cerai. Tapi, saya lega juga sebab sebelum ini asyik risau bila isteri desak nak berpisah.
“Selepas ini saya juga bolehlah fokus saja pada kerja dan teruskan kehidupan. Tak ada masalah pun sebab saya ini lelaki. Apa yang berlaku saya ‘telan’ dan hanya mampu mohon maaf serta luahkan pada Tuhan,” jelasnya.
Terdahulu, Edika dan Nor Hidayah bernikah pada 2003 dan hasil perkongsian hidup bersama selama 22 tahun, mereka dikurniakan dua anak iaitu Fardeen Nasrulhaq, 21 dan Fereena Nurulhaq, 20.
Bagaimanapun, pasangan ini pernah menarik perhatian ramai selepas melihat kesabaran, kecekalan dan kesetiaan Edika selama 19 tahun menjaga serta merawat Nor Hidayah yang lumpuh separuh badan selepas melahirkan anak kedua mereka.