KUALA LUMPUR: Kerajaan sedia menimbang rayuan pengecualian duti hiburan yang dikenakan pihak berkuasa tempatan (PBT) kepada industri pawagam bagi mengurangkan impak penularan COVID-19 terhadap sektor itu.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata ada saranan didengari daripada pengendali panggung wayang, namun, kementerian belum menerima permohonan secara rasmi daripada pihak terbabit.
“Aduan (mengenai pengecualian cukai) sudah lama saya dengar. Cuma perkara itu semakin hangat dibincangkan sejak COVID-19.
“Setakat ini, belum ada memorandum rasmi. Namun, perkara ini dalam pengetahuan saya dan kita masih mengkaji.DISYORKAN UNTUK ANDA
- Koleksi baharu Bata meriahkan Syawal
- Ejen Ali The Movie sasar kutipan RM20 juta
- Pawagam komited jaga penonton
- Kerajaan komited bantu kru belakang tabir
“Saya mengalu-alukan jika ada permohonan rasmi dibuat. Kita sedia berbincang sebab ini musim (COVID-19) semua orang menderita.
“Mana yang kita boleh bantu, kita bantu,” katanya selepas memantau pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) di Golden Screen Cinema (GSC) Midvalley Megamall di sini, hari ini.
Saifuddin berkata, walaupun kutipan cukai hiburan adalah di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT), namun, kerajaan sedia berbincang.
Mengenai SOP di pawagam, Saifuddin berpuas hati dengan pelaksanaannya.
“Saya berpuas hati terutama dalam aspek kebersihan dan penjarakan sosial.
“Dengan teknologi yang ada, penonton bukan sahaja boleh membeli tiket secara dalam talian, malah, memesan makanan. Jadi, risiko untuk bersentuhan dapat dikurangkan.
“Justeru, saya yakin situasi di pawagam adalah selamat. Saya harap orang ramai tidak perlu takut untuk pergi menonton di pawagam,” katanya.
Dilaporkan, penutupan pawagam berikutan penularan COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan sektor itu mengalami kerugian lebih RM400 juta dalam tempoh 10 bulan.
Sementara itu, mengulas kelonggaran diberi kepada industri kreatif untuk beroperasi semula hingga menimbulkan kurang senang segelintir pihak, Saifuddin berkata, keputusan dibuat kerana mahu memberi peluang pekerjaan kepada penggiat seni.
“Kita benarkan industri kreatif kembali beroperasi kerana mahu beri peluang untuk bekerja. Ini bukannya semata-mata mahu berhibur.
“Sejak pandemik melanda, kira-kira 45,000 penggiat industri kreatif terkesan.
“Apabila tidak boleh melakukan penggambaran, tiada persembahan terbuka dan pawagam ditutup, pendapatan mereka terjejas.
“Lagipun, setakat hari ini, industri kreatif tidak termasuk dalam sektor yang mempunyai kluster berbanding sektor utama lain. Kita harap rekod ini dapat dikekalkan,” katanya.
Kredit: Berita Harian