KUALA LUMPUR: Perlahan-lahan menempatkan diri dalam persada seni muzik selepas menyertai program realiti, Mentor Legend di TV3 pada 2014, penyanyi dan komposer, Aina Abdul mengakui apa yang dilalui dalam karier seninya tidak mudah.
Bergelar ‘Aina Abdul’ juga sukar dan jelasnya, dia menyedari perjalanan sebagai anak seni sememangnya penuh cabaran.
Sekiranya tidak benar, Aina atau nama sebenarnya, Nurul Aina Abdul Ghani, 31, tidak akan bertindak mengurangkan perkongsian dalam media sosial buat
sementara waktu, susulan badai hebat yang ditempuh selepas merangkul trofi Persembahan Terbaik menerusi lagu Puas Sudah dalam Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-39, Februari lalu.
“Selepas berapa tahun berada dalam industri dan menyertai AJL, sekarang saya dapat rasakan segala-galanya benar, iaitu menjadi anak seni adalah sesuatu yang mencabar.
“Orang hanya nampak dan fokus perkara negatif, jadi sebab itulah saya hilangkan diri dari media sosial buat sementara supaya saya boleh berfikir apa saya mahu buat dalam karier.
“Saya juga sudah enam tahun menyertai AJL, jadi pelbagai perkara sudah saya lalui. Saya fikir saya bukan muda lagi di pentas AJL, sudah macam-macam yang saya tampilkan. Sekarang saya fokus untuk menulis dalam diam,” katanya.
Berkongsi lanjut, Aina tidak menafikan ujian dan tohmahan diterima susulan persembahannya di AJL 39 antara terkuat pernah dilalui sepanjang bergelar anak seni.
“Bagi saya, apa yang saya terima kali ini banyak salah faham mengenai Aina Abdul. Paling terkesan, ibaratnya apa yang saya lakukan untuk show off setiap tahun. Itu bukan menunjuk-nunjuk, sebaliknya konsep persembahan.
“Saya sudah melakukannya setiap tahun dan kenapa tahun ini orang memandang dari sudut itu? Bagi saya, hebat juga apabila orang katakan mereka tidak kisah persembahan saya bagaimana asalkan tidak menang.
“Ia membuatkan saya agak terkesan, tapi saya sudah tutup episod itu dalam hidup. Sekarang saya bersemangat nak keluarkan lagu yang seterusnya,” katanya kepada BH Online.

Aina berkata, perkara itu juga antara faktor mengapa dia memilih untuk kurang berkongsi apa-apa di media sosial buat seketika.
“Saya lebih rela berdiam diri dengan aktiviti saya. Selagi tak bersedia nak umumkan, saya simpan dahulu. Saya masih kerja macam biasa dan belum lagi berehat selepas AJL 39,” katanya.
Katanya, dia akan keluar dengan single baharu dan kini menunggu Syawal berakhir.
“Saya percaya dalam industri ini ramai yang nak lihat saya jatuh, jadi saya lebih suka bila tiba masanya dan keadaan mengizinkan, saya akan keluarkan ‘anak’ (lagu) saya.
“Kalau berehat menulis, saya rasa tak seronok sebab saya juga kena jaga periuk nasi dan memikirkan nasib pekerja, jadi saya kena teruskan,” katanya.
Sebelum ini, Aina menjadi sasaran kecaman hebat, termasuk buli siber dan face shaming selepas persembahan di AJL 39.
Segelintir netizen seolah-olah tidak menghargai bakatnya, malah ada yang bersorak gembira ketika dia gagal membawa pulang hadiah utama pada pertandingan malam itu.
Pada edisi AJL 39, Aina berjaya merangkul trofi Persembahan Terbaik menerusi lagu Puas Sudah.
Sebelumnya, Aina bergelar Juara pada AJL 37 menerusi lagu Terus Hidup dan naib juara pada AJL 35 dengan lagu Semalam serta tempat ketiga pada AJL 38 menerusi lagu Jangan Mati Rasa Itu.
Untuk Vokal Terbaik pula, Aina berjaya meraih trofi sebanyak tiga kali berturut-turut, iaitu pada AJL 36 (Sepi), AJL 37 (Terus Hidup) dan AJL 38 (Jangan Mati Rasa Itu).