BILA berkongsi kisah Ramadan, pastinya banyak kenangan mencuit hati.

Masing-masing ada pengalaman yang menggamit dan ada kalanya memberi pengajaran atau kesan besar dalam hidup.

Sempena Kempen Ramadan Raya 2025 (RaRa 2025) bertemakan Indahkan Memori, enam selebriti yang juga ‘Friends of RaRa’ turut sama berkongsi lembaran kisah menarik mereka.

Mereka ialah pasangan pelakon Aidil Aziz, Fasha Sandha dan anak mereka Aisha; pengacara; Naz Rahman, Fatin Hamimah, Amirulhakim Lokman dan pembaca berita, Farah Nabilah Wazer.

Kisah mereka ringkas, namun penuh makna dan pengajaran.

“Memori Ramadan paling indah? Bawa anak-anak ke bazar. Beli tepung pelita dan martabak daging hidangan kegemaran kami sekeluarga,” kata Fasha.

“Dulu masa kecil, kalau tak puasa kena duduk tepi tengok orang lain berbuka. Sedih, tapi dari situ saya belajar. Sekarang saya buat pada anak-anak pula. Bezanya, mereka lebih cekal daripada saya,” kata Naz.

“Momen Ramadan paling saya nantikan? Apabila keluarga besar berkumpul setiap hujung minggu! Kami masak hidangan berbuka bersama, suasana memang meriah,” kata Fatin.

“Paling seronok bila dapat solat tarawih dengan orang tersayang. Selalu kami berbuka di masjid, solat bersama, kemudian lepak mamak. Moreh itu wajib!” kata Farah.

“Setiap malam Ramadan, saya dan rakan-rakan ke masjid untuk bertarawih. Selepas solat, kami duduk di tangga, berbual sambil menikmati kuih-muih. Memang pengalaman yang cukup bermakna,” kata Amirulhakim.

Kempen RaRa 2025 yang dilancarkan pada 28 Februari lalu menyajikan seleksi hiburan eksklusif dan pengalaman menarik yang bakal menceriakan serta menghidupkan semangat Ramadan dan Syawal tahun ini.

Kempen ini mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk mencipta detik indah yang sarat dengan keharmonian, kegembiraan dan nilai persaudaraan yang terus mekar.

Tema Indahkan Memori diangkat bagi menghargai kemesraan dan kebersamaan dari detik berbuka puasa bersama keluarga hingga perbualan rancak yang menyulam keakraban di hari lebaran.

Acara pelancarannya berlangsung meriah dengan tajaan Gardenia NuMee di Rumah Abang Jamil, Kuala Lumpur.

Dihoskan Fahrin Ahmad dan Fiza Sabjahan, suasana cukup riuh-rendah dan menghiburkan.

Dalam pada itu, pelbagai program menarik disusun khas untuk menghiburkan dan memberi inspirasi kepada penonton sepanjang bulan penuh keberkatan ini.

Daripada rancangan inspirasi dan bual bicara yang sarat pengajaran hinggalah hiburan, gaya hidup, drama dan siri mini yang menyentuh emosi, setiap program menyampaikan naratif bermakna dan mesej mendalam untuk dinikmati bersama.

Antaranya Al-Kuliyyah, Tanyalah Ustaz: Diari Muslim, Sembang Sahur, Keluarga Tanyalah Ustaz Berhari Raya, MHI: Istimewa Aidilfitri, 10 Malam Terakhir, Anak Mama Masak Apa Tu? Menu Sihat Ramadan, Oh Mummy! dan Famili Duo Raya.

Tidak ketinggalan, drama bersiri Bukan Sekadar Lafaz 2, Keluarga Itu, Teratak Kasih Salina, Sekam Di Dada, Calon Isteri Buat Suami, Dari Rahim Yang Sama, Desa Boy dan siri original tonton berjudul BRU.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *