Ernie Zakri mencipta rekod baharu apabila lagu nyanyiannya, Masing Masing diiktiraf Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) sebagai pemegang rekod lagu nombor satu paling lama di Carta RIM selama 27 minggu.
Lagu Masing-Masing dimuatkan dalam album kedua Ernie berjudul Aura yang dilancarkan pada 2023.
Kembara Ernie ke tahap lebih tinggi berterusan kerana Masing Masing turut mendominasi carta muzik dan menjadi karya balada digilai pendengar sekitar rantau Asia Tenggara.
Malah, Masing Masing turut dijadikan satu daripada runut bunyi drama rantaian popular Indonesia berjudul Luka Cinta sehingga mencetus fenomena di Nusantara.
Ernie berkata, dia terharu dan bersyukur dengan pencapaian dilakar lagu itu.
“Kembara ini menjadi bukti kasih sayang serta jalinan peminat terhadap muzik saya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim berkata, Ernie adalah bukti kejayaan terbesar untuk inisiatif Nusantara syarikat berkenaan.
Katanya, Ernie meraih pengiktirafan mengagumkan sebagai artis tempatan pertama melakar sejarah menduduki tangga tertinggi carta IFPI di tiga negara iaitu Indonesia, Malaysia dan Singapura.
“Kini, inisiatif untuk terus maju ke depan adalah memfokuskan strategi Ernie untuk mengukuhkan lagi hubungan bersama peminat.
“Ia termasuk melancarkan lebih banyak lagu, tingkatkan interaksi dengan peminat di pelbagai platform serta merancakkan lagi acara persembahan secara langsung.
“Keterujaan terhadap industri muzik sekarang buka pelbagai peluang meneroka laluan berbeza buat muziknya termasuk kerjasama di peringkat global bersama artis antarabangsa dan pemuzik seluruh dunia,” katanya.
Masing Masing juga mencatat lebih 130 juta penstriman di Spotify dan ia adalah lagu Melayu paling tertinggi distrim menerusi platform itu.