ANUGERAH Juara Lagu Ke-39 (AJL 39) yang akan bersiaran secara langsung dari Axiata Arena, Bukit Jalil pada 16 Februari ini bakal menampilkan gandingan kali pertama antara Nazrudin Rahman dan Sissy Iman sebagai hos utama.
Pengurus Projek AJL 39 merangkap Ketua Unit Produksi, Penjenamaan dan Hiburan TV3, Russell Mark Rodrigues berkata, pemilihan pasangan pengacara itu dibuat dengan semangat mencuba pendekatan baharu.
“Kami ingin mencuba sesuatu yang baharu dan mencabar, walaupun saya sedar ada risikonya. Namun, pasukan produksi sudah memberikan panduan kepada Nazrudin dan Sissy dengan mengadakan beberapa sesi latihan sebelum AJL39.
“Mereka berdua tidak pernah digandingkan bersama sebelum ini, jadi untuk dapatkan keserasian agak susah dan memakan masa.
“Namun kami sudah menyusun beberapa perancangan. Antaranya, mereka dijemput untuk tampil di program Melodi dan Muzik Muzik, selain menjalani sesi individu bersama pasukan produksi. Kini, kami masih ada empat sesi lagi sebelum sesi pembacaan skrip.
“Ini adalah tanggungjawab penting bagi pihak produksi untuk memastikan gandingan ini berjaya. Setakat ini, kami melihat perkembangan yang positif antara mereka,” katanya kepada Harian Metro.
Ditanya adakah pasukan produksi sudah bersedia dengan sebarang kritikan dengan gandingan mereka berdua, Russell berkata, setiap komen adalah lumrah yang tak boleh dihalang dan sudah menjadi perkara biasa.
“Namun, untuk membuktikan sesuatu, penonton perlu memberi peluang melihat gandingan ini terlebih dahulu.
“Apa jua kritikan yang diterima, kami akan mengambilnya sebagai maklum balas dan memandangnya dari sudut yang positif,” katanya.
Russell berkata, pemilihan mereka bukanlah pilihan pertama, kerana terdapat beberapa calon lain disenarai pendek.
“Bukan pilihan pertama sebab kami ada beberapa pilihan lain, tetapi selepas berbincang dengan pihak pengurusan, kami ingin mencuba sesuatu yang baharu.
“Saya akui, pembaharuan seperti ini memerlukan masa untuk diterima, tetapi kami akan berusaha keras untuk memastikan gandingan ini memberikan yang terbaik,” katanya.
Tiket untuk menyaksikan AJL 39 secara langsung boleh didapati melalui laman web, www.wowtix.com.my.
Sepuluh lagu mara ke pentas AJL 39 adalah Sengaja (Amir Masdi/Bunga Cantik & Hang Nadim/Bunga Cantim & Hang Nadim); Puas Sudah (Aina Abdul/Aina Abdul) dan Saksama (Akim & The Majistret/Akim & The Majistret & Bunga Cantik).
Turut bersaing, Diam (Hael Husaini/Hael Husaini & Iqie Hugh/Hael Husaini & Iqie Hugh); Hening Rindu (Marsha Milan/Ikhwan Fatanna & Wan Salleh/Ikhwan Fatanna) dan Aura (Ernie Zakri/Ernie Zakri & John Jeeves/Ernie Zakri & John Jeeves).
Tidak ketinggalan, Bukan Lagi Kita (Nadeera Zaini/Hael Husaini & Iqie Hugh/Hael Husaini & Iqie Hugh) dan Pujaanku (Kugiran Masdo & Aisyah Aziz/Ali Sariah/Ali Sariah & Hedimoru).
Menambah cabaran lagu Risiko (Benzoloo, Ghidd, Isobahtos, Meerfly, Tuju & MK K-Clique/Apipapol/Benzoloo, Ghidd, Isobahtos, Meerfly, Tuju & MK K-Clique) dan Terus Bersinar (Hafiz Suip/Mas Dewangga, Jova Devito & Datuk Arisz Abdul Rahman/Mas Dewangga & Jova Devito).