BAGI mengelakkan diri terbabit dalam isu berkaitan penyelewengan Dana Kandungan Digital (DKD) pelakon berbakat, Amerul Affendi mengambil pendekatan menapis atau memilih naskhah yang ditawarkan kepadanya.
Amerul, 38, atau nama sebenarnya, Mohd Amerul Affendi Mohd Mawardi mengakui dirinya sangat selektif sebelum menerima tawaran untuk bekerjasama dengan penerbit yang menghasilkan filem melalui dana terbabit.
“Saya akui dana diberikan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) tidak banyak, tetapi percaya sebuah karya bermutu boleh dihasilkan sekiranya ia diagihkan dengan baik.
“Bagi mengelak daripada terbabit dalam isu berkaitan penyelewengan dana, saya sangat teliti untuk memilih tawaran,” katanya pada tayangan perdana filem Limbungan: Tragedi Hitam 1975.
Kata pelakon terkenal filem Prebet Sapu ini, dia akan meneliti dari segi pemilihan pasukan produksi dan seterusnya naskhah yang menjadi cita rasa penerbit.
“Semua itu adalah elemen penting untuk memastikan produk filem yang dikeluarkan menjadi atau tidak.
“Walaupun saya tahu bayaran lakonan tidak besar kerana dana yang diberikan juga tidak banyak, namun jika ia digunakan dengan betul, Insya-Allah, produk itu akan menjadi.
“Tapi, kalau separuh dia (penerbit) sudah seluk masuk poket, tiada guna. Saya pun tidak mahu buang masa, baik saya duduk berkebun di kampung,” kata Amerul yang mula terbabit dalam lakonan sejak 2008.
Kata Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-27 menerusi Filem Terbaik Dari Langit itu lagi, dia sangat tegas berkaitan isu penyelewengan dana DKD itu.
“Saya pernah menarik diri daripada projek filem selepas menyedari sistem kerja produksi terbabit tidak betul.
“Mereka ada masalah dari segi pengurusan masa dan tiada persediaan praproduksi. Jadi, saya memilih berundur kerana anggap mereka tidak profesional.
“Dari situ, kita sendiri boleh agak bagaimana hasil produk mereka nanti. Tapi, jika saya sudah tanda tangan kontrak, saya terpaksa serah diri sahaja,” katanya.
Terdahulu, beberapa filem yang memperoleh dana DKD dikritik hebat kerana dianggap tidak berkualiti selain gagal mendapat keuntungan seperti diharapkan.
Isu berkaitan penyelewengan dana DKD itu membuatkan orang ramai mempertikaikan sama ada peruntukan dana itu berbaloi diteruskan kepada penggiat seni tempatan.