Untuk kali kedua, Panggung Asia di Gombak dimeriahkan dengan gegaran muzik rock menerusi Konsert Rock Kapak 2 yang berlangsung baru-baru ini.

Sinonim dengan muzik rock, rata-rata peminat tampil dengan pelbagai konsep pakaian rock seperti glam rock ala Motley Crue, retro dan pelbagai lagi.

Penganjur, Attah Music yang dimiliki penyanyi, Hatta Junction dan isteri, Linda pula menawarkan Anuge

rah Pakaian Terbaik buat mereka yang menepati konsep rock, membuatkan ramai mahu menang hadiah.

Tepat jam 8.45 malam, Gravity tampil sebagai artis pertama membuka pentas dengan lagu Kesinambungan Cinta, Kau Salju Cintaku dan lagu popular lain.

Penyanyinya, Isa Hamzah tetap berbisa dengan ‘showmanship’ yang hebat. Suaranya masih mantap dan menyengat pada usia 60 tahun menyanyikan lagu balada rock dan heavy rock.

Pentas seterusnya diambil alih oleh Rockapak Band yang dianggotai Hatta sebagai penyanyi, Rosdi Desire (dram), Zam SYJ/Sofea (gitar), Mie FTG (bass) dan Rezoi (gitar).

Mereka tampil dengan lagu Bias Cinta dan Akan Ku Kenang. Apabila Hatta menyanyikan lagu Holy Diver (nyanyian asal Dio) semestinya ada yang ‘head banging’.

Kemuncak persembahan hadir menerusi penampilan khas Joe dari kumpulan Rockers menyanyikan lagu ikonik, Memori dan Zaileha yang dinyanyikan secara ‘live’ buat pertama kali dalam lebih 30 tahun.

HATTA tampil dengan Rockapak Band. FOTO Hazreen Mohamad
HATTA tampil dengan Rockapak Band. FOTO Hazreen Mohamad

Penonton memberikan tepukan gemuruh memandangkan Rockers dikenali dengan album Kekejaman pada 1988, Harakah (1989) dan Andalusia (1990).

Selepas itu, giliran Amir SYJ/Sofea pula menambahkan kemeriahan konsert dengan lagu penuh bertenaga seperti Hati Syaitan dan Orang Timur.

Peminat bersorak gembira kerana Amir dan kumpulannya boleh disifatkan antara ‘Raja Funfair’ bersama beberapa kumpulan lain.

Kumpulan Gamma yang tampil sebagai band terakhir menyanyikan lagu Bahang Asmara, Kembang Terhalang dan beberapa lagu lain. Energi penyanyinya, Blank hebat menggambarkan kehebatan dan kegemilangan era rock 1990-an sukar dinafikan.

Namun, kehadiran hanya 300 peminat dilihat kurang gah berbanding persembahan hebat yang ditampilkan semua kumpulan terbabit.

Hatta berkata, persaingan dengan beberapa konsert rock lain seperti Pesta Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan beberapa lagi membuatkan peminat rock berpecah.

GAMMA berjaya membuat penonton melekat hingga akhir konsert. FOTO Hazreen Mohamad
GAMMA berjaya membuat penonton melekat hingga akhir konsert. FOTO Hazreen Mohamad

“Bagaimanapun, penganjuran kali kedua ini nampak teratur dan beri kepuasan kepada peminat. Penampilan Joe Rockers dan Amir ternyata menjadi penarik.

“Tambah lagi diiringi pemuzik otai juga. Malah mereka sendiri mengakui merasa ‘vibe’ berbeza dalam konsert ini berbanding konsert lain yang dijayakan.

“Kami juga berbangga dan gembira kerana konsert ini turut disaksikan tetamu kenamaan, Setiausaha Politik kepada Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil iaitu Abdullah Izhar Mohamed Yusof,” katanya.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *