Sekalipun sudah lebih tiga minggu ditayangkan di pawagam, filem Babah masih mendapat permintaan tinggi penonton, sekali gus berjaya meraih kutipan RM6 juta.

Bersyukur dengan maklum balas positif penonton tempatan, penerbit juga perintis idea filem itu, Nadia Mohd Nadzri tidak menyangka dengan naskhah yang mengangkat nilai kekeluargaan terutama membabitkan hubungan bapa dan anak dapat diterima ramai.

“Saya tak jangka boleh cecah kutipan setinggi itu sebab ini bukan filem berat, kami buat filem ini santai sahaja. Untuk filem ini kami dapat Dana Kandungan Digital (DKD).

“Setakat ini filem Babah masih ditayangkan di 99 pawagam seluruh negara. Sekarang ini kami rasa sudah dapat gelombang kedua dari segi sambutan peminat.

“Kami macam terkejut juga bila tayangan sebelah pagi penuh. Kali ini Babah akan masuk ke pawagam di Sarawak dan Sabah sebab sebelum ini agak sunyi di sana,” katanya.

Melihat sambutan luar biasa yang diterima, Nadia yang mengusahakan syarikat produksi Nads Media Entertainment itu bakal membawa filem itu ke pasaran negara jiran.

“Pada 26 Disember (esok) Babah masuk Singapura dan kami juga merancang membawa ke Indonesia,” katanya.

Ketika ditanya mengenai faktor kejayaan Babah walaupun bersaing dengan beberapa filem tempatan lain, Nadia menjelaskan ia mungkin berpunca daripada keikhlasan semua pihak yang terbabit dalam pembikinannya.

ANTARA babak dalam filem Babah. - FOTO Arkib NSTP
ANTARA babak dalam filem Babah. – FOTO Arkib NSTP

“Kebanyakan daripada kami yang terbabit dalam filem Babah ini memberikan sepenuh jiwa dan setiap usaha dilakukan lahir daripada hati. Kalau tidak datang daripada hati, memang sukar untuk melakukannya kerana filem ini, pada saya filem ini tidak terlalu kompleks.

“Mungkin itu yang membuatkan cerita ini menyentuh hati penonton. Malah, kami tidak menjangka Babah menjadi tular di media sosial kerana semuanya berlaku secara organik.

“Saya percaya salah satu faktor kejayaan filem ini adalah ia dihasilkan dengan keikhlasan dan kerana itu, ia sampai ke hati penonton.

“Tiada apa lagi yang mampu saya katakan mengenai sambutan luar biasa ini. Kami hanya bekerja dengan hati yang tulus,” jelasnya.

Filem Babah mengambil dua kisah tular mengenai hubungan antara bapa dan anak.

Produksi kemudian menggabungkannya untuk dijadikan jalan cerita menarik dan dekat dengan kehidupan masyarakat.

Babah mengisahkan pengorbanan ayah bernama Isyak untuk anak perempuannya, Maya.

Isyak adalah lelaki pertama yang hadir dalam hidup Maya, malah dia dianggap hero yang sentiasa melindungi dan menjaga Maya.

Apabila dewasa Maya diuji musibah teruk, Isyak menjadi tempat bergantung harap.

Filem Babah menampilkan lakonan Qi Razali, Cristina Suzanne, Sweet Qismina Adam Lee dan Kisaisha.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *