KUALA LUMPUR: Penyanyi, Ezad Lazim mencabar diri keluar dari kepompong lama dengan menyanyikan lagu mengikut peredaran zaman.

Sebelum ini, Ezad kelihatan selesa menyampaikan lagu bergenre pop rock, namun single solo terbaharu berjudul Jarak Waktu melawan arus kebiasaannya.

“Bukan mudah nak masuk acuan ‘remaja’ atau pasaran Budak Baru Nak Up (BBNU). Tambahan pula, saya dalam kategori usia ‘remaja purba’. Usia pun sudah meningkat 42 tahun.

“Nak kata remaja memang sudah tidak sesuai, tetapi saya bukanlah terlalu tua sangat,” selorohnya.DISYORKAN UNTUK ANDA

Ezad berkata, dia kekok menyerap roh menyanyikan lagu berentak pop balada ciptaan dan lirik oleh Becky Zulkepli.

“Orang tahu saya penyanyi lama. Persepsi mereka semestinya menganggap apa juga acuan diketengahkan bersifat lama.

“Namun, tidak salah mengetepikan ego menyanyikan lagu bergenre berbeza. Ikutkan, usia saya sesuai mendendangkan lagu lebih matang seiring perjalanan seni selama 25 tahun.

“Mungkin ada yang beranggapan saya buang tabiat. Tetapi, banyak faktor perlu dipertimbangkan termasuk usaha menarik minat peminat generasi baharu, jadi tak salah sekiranya mencuba,” katanya kepada BH Online.

Penggambaran video muzik Jarak Waktu di Cameron Highlands.
Penggambaran video muzik Jarak Waktu di Cameron Highlands.

Ezad berkata, dia juga sering disakat anak seperti orang tua.

“Lucu juga mendengarnya. Anak cakap saya tidak seperti bintang rock lain. Mereka membandingkan saya dengan kumpulan K-Pop terkenal, BTS dan artis tempatan seperti Andi Bernadee, Floor 88 dan ramai lagi.

“Dalam hati terdetik juga, anak-anak tidak tahu saya terlebih dahulu merasainya,” katanya.

Single Jarak Waktu edaran Nar Record itu dirakamkan pada Januari lalu, manakala penggambaran video muzik dilakukan penggambarannya di Cameron Highlands. Ia dilancarkan dua hari lalu.

“Lagu ini boleh dikatakan segar hingga saya rasa lebih muda. Saya berani menerima idea komposer baharu.

“Jarak Waktu mengangkat kisah percintaan jarak jauh yang sentiasa mengundang rasa sangsi dan curiga,” katanya kali terakhir muncul dengan single Leka, tahun lalu.

Kredit: Berita Harian

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *