KUALA LUMPUR: Penyanyi, Amylea Azizan sebak apabila Misha Omar mendendangkan semula lagu Kendati yang dimuat naik dalam laman Instagram (IG), semalam.

“Saya rasa macam nak meraung apabila Misha sudi membawakan lagu Kendati. Dia membawanya dengan cara tersendiri. Tak terungkap sebak di hati mendengarnya,” kata Amylea.

Terdahulu, Misha mendendangkan lagu Kendati ciptaan sepenuhnya Amylea itu dan dikongsi dalam IG mendapat pelbagai reaksi positif.

Selepas dua tahun tidak muncul dengan karya baharu, kehadiran Kendati yang juga lagu runut bunyi drama yang mencetuskan fenomena, Takdir Yang Tertulis di TV3, baru-baru ini.DISYORKAN UNTUK ANDA

Amylea mengambil kesempatan memuat naik semula video dendangan Misha dalam IG.

“Saya amat berbangga. Saya anggap Misha penyanyi bertaraf legenda, namun kesudian mendengar, seterusnya memilih mendendangkan lagu Kendati cukup membuatkan hati ini sebak.

“Tidak semua penyanyi mendapat penghormatan daripada penyanyi hebat. Jujurnya, saya sangat menghormati dan meminati Misha. Dia adalah idola saya.

“Jika nak tahu, inilah sikap mulia Misha, sangat merendah diri, mengambil berat dan tidak pernah pilih kasih dalam berkawan. Dia juga baik hati dan ramah.

“Bayangkanlah, penyanyi seperti saya yang tak berapa ‘power’ pun Misha sokong. Ketulusan hatinya menyokong karya rakan seperjuangan dan bakat baharu amat dihargai,” katanya kepada BH Online.

Amylea Azizan terharu Misha Omar sudi mendendangkan lagu Kendati yang dimuat naik dalam laman Instagram (IG), semalam. - Foto IG Amylea Azizan
Amylea Azizan terharu Misha Omar sudi mendendangkan lagu Kendati yang dimuat naik dalam laman Instagram (IG), semalam. – Foto IG Amylea Azizan

Sementara itu, penyanyi Bunga Bunga Cinta itu menerusi dalam entri IG yang dikongsi menyatakan, secara peribadi, dia amat menyukai karya baharu sentuhan Amylea.

“Melodi dan liriknya ditangani dengan baik nyanyian Amylea yang bersahaja. Tetapi, ia tetap membuai perasaan dengan mendalam.

“Sejujurnya, saya tak suka dengar suara sendiri menyanyikan lagu ini. Ia kerana lagu Kendati merdu dan cemerlang dinyanyikan Amylea, tetapi kedengaran agak tua di tangan saya.

“Macam saya berlebih-lebihan menyanyi pun ada. Entahlah, tetapi saya selalu nyanyi lagu Kendati di rumah sebab suka,” kongsi Misha dalam IG.

Misha berkata, video nyanyian dikongsi sebagai tanda sokongan kepada Amylea.

“Melangkah terus Adikku. Semoga berjalan, berlari dan terbang sampai ke bintang. Saya mendoakan adik terus berjaya. Mudahan kita boleh berkolaborasi menulis lagu bersama-sama, suatu hari nanti.

“Ehhh berangan pula, tak mengapa. Setiap kejayaan semuanya bermula daripada mimpi yang dianyam dengan rapi,” kata Misha.

Lagu Kendati dilancarkan sejak 31 Januari lalu menjadi siulan peminat. Lebih membanggakan, video lirik lagu Kendati berada dalam carta trending YouTube selama lebih tiga minggu.

Video lirik itu juga berjaya mencecah 1 juta tontonan dalam tempoh tiga minggu. Malah, lagu Kendati versi piano unplugged yang dipersembahkan dalam YouTube Seventeen Eleven Music sejak 15 Februari lalu turut berada pada carta trending.

Bukan dua, tetapi tiga versi lagu Kendati berjaya mencuri perhatian termasuk terbaharu, versi lelaki gitar akustik yang dinyanyikan oleh Rian Shain. Ia berada pada kedudukan 35 carta YouTube sejak dimuat naik sejak 19 Februari lalu.

Kredit: Berita Harian

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *