Kuala Lumpur: Festival meraikan golongan istimewa iaitu OKU Fest 2.0 kembali diadakan dengan lebih meriah dan padat aktiviti berlangsung esok dan lusa di Panggung Bandaraya Kuala Lumpur, Dataran Merdeka, bermula jam 10 pagi hingga 8 malam.

Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez selaku penganjur menyeru orang ramai agar hadir memeriahkan acara terbabit sebagai tanda sokongan padu terhadap komuniti orang kelainan upaya (OKU). 

“Ini kali kedua kami adakan acara ini kerana sebenarnya pernah buat pada 2022. Kami menjemput persatuan-persatuan OKU untuk turut serta dan sebelumnya kami panggil acara itu Festival Seni Insan Istimewa.

“Untuk dua hari acara kali ini, ada sekitar 15 ‘booth’ menjual hasil kerja mereka akan dibuka. Semoga mendapat sokongan agar bantu mereka menjana pendapatan serta promosi produk,” katanya.

Freddie berkongsi tema tahun ini adalah ‘My Ability is Stronger Than My Disability’ dan antara acara menarik bakal diadakan adalah program nyanyian Pertandingan Akhir Bakat Seni Suara SBM.

“Semoga pertandingan itu mampu melahirkan bintang insan istimewa yang mampu bersinar dalam industri muzik kita,” katanya.

Susulan kejayaan penganjuran pertamanya pada Oktober 2022, festival ini kembali dengan pelbagai pengisian baharu dan menarik untuk meraikan bakat serta keunikan komuniti OKU.

Acara terbabit akan dirasmikan Senator Tuan Isaiah D. Jacob, Ahli Dewan Negara yang mewakili komuniti OKU.

Selain menyanyi, turut diadakan adalah pertandingan Canting Batik khas untuk kanak-kanak autisme. Tidak ketinggalan persembahan OKU Jam menampilkan bakat luar biasa seperti Rizwan dan Lan Taroo, persembahan istimewa oleh Amal AF/Ex-OAG dan kumpulan muzik ska, Reloveution.

Sebuah forum bertajuk Autism Adalah Superpower! turut diadakan dengan menampilkan Altimet, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya yang juga seorang individu dyslexia, sebagai salah seorang panelis.

Pada hari kedua, acara kemuncak termasuk OKU Fest Idol dan Bengkel KL Street Artist, iaitu program khas pengambilan permit seniman jalanan yang memberi peluang eksklusif kepada warga OKU.

Festival ini dianjurkan Karyawan dengan sokongan padu daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), serta rakan strategik seperti Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM), dan Dyslexia Genius. 

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *