Kuala Lumpur: “Barangkali ini perkara paling menyedihkan dalam hidup ini, iaitu saya tidak mampu memiliki anak sendiri,” luah Bintang Hollywood kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh.
Michelle, 62, yang menjulang trofi Aktres Terbaik Oscar, baru-baru berkongsi kekecewaan itu ketika ditemubual The Sunday Times.
Teraju filem Tomorrow Never Dies itu berkongsi hakikat dirinya tidak berupaya hamil, sesuatu yang dianggap paling menyedihkan dalam hidup.
Beliau menyedari dirinya tidak mampu hamil sepanjang mendirikan rumah tangga dengan usahawan, Dickson Poon selama lima tahun pada 1988 hingga 1992.
Walaupun tidak mampu melahirkan zuriat, Michelle menjadi ibu angkat kepada enam anak termasuk anak perempuan Poon, lapor AsiaOne.
Menurut Michelle, hidupnya bermakna kerana memiliki enam anak angkat termasuk anak saudara yang ramai.
“Saya sudah melakukan apa yang termampu namun, kadang kala ia tidak mencukupi,” katanya.
Michelle berkahwin dengan Jean Todt, tahun lalu, mengakui faktor gagal mendapatkan zuriat menyebabkan rumah tangga dengan Poon, musnah.
Ketika ditemuramah The Goop Podcast, Michelle berkata mereka berusaha gigih malah bekas suami memang mahukan keluarga yang besar.
Merenung kerjayanya sebagai aktres terbilang, Michelle mengakui mengimbangi hidup antara profesion dan tanggungjawab sebagai ibu pasti mencabar.
“Saya tidak tahu bagaimana wanita yang dalam profesion sama seperti saya bergelut dengan berbadan dua, memiliki anak dan kembali bekerja.
“Saya tidak mampu buat banyak perkara dalam satu masa,” katanya.